Foodie Media catat pendapatan RM37.1 juta FY2025, untung teras RM11.9 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Foodie Media catat pendapatan RM37.1 juta FY2025, untung teras RM11.9 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 25 Nov – Foodie Media Bhd, syarikat yang terkenal menerusi akaun media sosial KL Foodie, memaklumkan keputusan kewangan bagi suku keempat berakhir 31 Ogos 2025 (4QFY2025), sekali gus menandakan laporan interim pertamanya selaras dengan keperluan Penyenaraian Bursa Malaysia.

 

Menurut syarikat itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2025 (FY2025), Foodie Media mencatat pendapatan RM37.1 juta.

 

Segmen penerbitan media digital menyumbang RM22.8 juta atau 61.5% daripada jumlah pendapatan, manakala kempen pemasaran lain menyumbang RM14.3 juta atau 38.5%.

 

Tidak termasuk perbelanjaan penyenaraian sekali sahaja berjumlah RM2.5 juta, keuntungan selepas cukai teras kumpulan mencecah RM11.9 juta.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Foodie Media Berhad, Nicholas Lim Pinn Yang berkata, keputusan penuh tahun kewangan ini mencerminkan kekuatan ekosistem kandungan pelbagai segmen milik Foodie serta keyakinan berterusan audiens dan pengiklan di rantau ini.

 

“Dari FY2024 ke FY2025, pertumbuhan pendapatan sebanyak 54.8% menunjukkan sejauh mana perjalanan kami. Dalam tempoh sama, keuntungan selepas cukai teras turut meningkat kira-kira 57.9%, membuktikan kemampuan kami mengembang bukan sahaja hasil, malah keuntungan mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut beliau, Foodie Media yang bermula sebagai sebuah jenama di Pulau Pinang kini berkembang menjadi portfolio 37 jenama gaya hidup merentasi Malaysia, Singapura, Thailand, Indonesia dan Filipina, disokong oleh komuniti pengikut yang tinggi penglibatan.

 

Menjelang penyenaraian pada 28 November ini, katanya, fokus kumpulan adalah untuk terus memperkukuh segmen teras iaitu penerbitan media digital, pemasaran KOL dan pengurusan kempen, selain memecut pertumbuhan baharu dalam live commerce serta produksi drama pendek.

 

Foodie Media juga merancang memperluas tenaga kerja, melabur dalam penyelesaian perisian bersepadu AI, melancarkan halaman media sosial baharu merentas platform, memperoleh dan menaik taraf premis tambahan untuk operasi live commerce, menambah bilangan pasukan live commerce dan menghasilkan drama pendek original bagi memperkukuh peluang penempatan produk serta pengiklanan bersepadu skrip.

 

Katanya lagi, inisiatif ini direka untuk meningkatkan keterlibatan audiens, kecekapan operasi dan daya saing jangka panjang kumpulan.

 

Menurut Pinn Yang, Foodie kini berada pada kedudukan kukuh untuk merebut peluang dalam landskap pasaran yang semakin pulih, dipacu momentum pengiklanan yang lebih rancak serta ekonomi domestik yang bertenaga semula.

 

“Dengan kejayaan penyenaraian, kami bersedia memperkukuh kepimpinan industri melalui kandungan yang lebih kukuh, penyelesaian media inovatif dan pengalaman jenama premium. IPO ini adalah pencapaian penting dalam perjalanan kami, dan kami komited mencipta nilai mampan kepada semua pihak berkepentingan,” katanya. - DagangNews.com