Focus Point catat prestasi kukuh didorong tambahan 5 kedai dibuka pada 1HFY25 – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Focus Point catat prestasi kukuh didorong tambahan 5 kedai dibuka pada 1HFY25 – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Okt – Pembukaan lima cawangan optikal sepanjang separuh pertama tahun kewangan 2025 menjadi pemangkin utama prestasi positif Focus Point Holdings Berhad, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan tersebut menambah, pertambahan bilangan kedai baharu berkenaan dijangka mencatat pertumbuhan yang lebih kukuh kepada kumpulan itu pada tempoh enam bulan terakhir tahun ini.


Kedai di Karamunsing, Aeon Taman Maluri, Mitsui Sepang, IOI Damansara dan Sunway Carnival itu menjana peningkatan jualan dan mengukuhkan penguasaan pasaran dalam segmen penjagaan penglihatan.


"Kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 75 sen sesaham disokong momentum perniagaan optikal serta pemulihan segmen makanan dan minuman (F&B) menjelang 4QFY25," kata TA Securities.


Segmen optikal menyumbang 83.3% hasil kumpulan pada 2QFY25, menjadikan pemacu utama keuntungan Focus Point dengan keuntungan sebelum cukai (PBT) katanya, meningkat 14.9% kepada RM11.5 juta.


Antara faktor pencapaian ini jelas firma tersebut dalam notanya termasuk peningkatan 71.7% dalam jualan korporat kepada RM5.0 juta, didorong pertambahan pelanggan korporat kepada 780 syarikat.


Bilangan ini kata TA Securities, naik berbanding 731 pada FY24, dan peningkatan margin PBT iaitu 2.1 peratus mata kepada 20.8%, mencerminkan kecekapan kos serta rebat pembekal yang lebih baik.


"Kami menjangkakan prestasi ini akan terus kukuh pada 2H25, didorong permintaan stabil terhadap produk optikal, strategi harga secara berkesan, serta faktor bermusim menyokong jualan," katanya.


Focus Point turut mencatat permulaan baik bagi kedai berkonsep baharu dibuka di Bintulu, Sarawak pada Julai 2025, yang mendapat sambutan hangat terutama daripada pekerja sektor minyak dan gas.


Syarikat itu juga berhasrat membuka sehingga 10 cawangan optikal baharu dalam FY25, dengan empat lagi bakal dibuka di Miri, Perlis, Sunway Square Mall dan Empire City pada separuh kedua tahun ini.


Walaupun masih lagi mencatat kerugian sebelum cukai RM0.8 juta dalam tempoh 2QFY25, segmen F&B kata TA Securities, dijangka mampu menyaksikan pemulihan dalam suku keempat tahun kewangan 2025. 


"Kerugian ini kerana pelupusan aset tetap akibat penutupan outlet Komugi di Mahkota Cheras, kos pembukaan outlet baharu, dan kemerosotan 13.2% jualan korporat F&B kepada RM4.5 juta," katanya.


Bagaimanapun jelasnya, dengan kemasukan empat pelanggan korporat baharu dan kawalan kos yang lebih ketat, ia menjangkakan prestasi F&B akan beralih semula kepada keuntungan dalam masa terdekat.


Sebagai sebahagian inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), Focus Point turut menjalankan kempen pemeriksaan mata percuma di empat pusat beli-belah utama, melibatkan lebih 8,000 orang pengunjung.


Usaha program ini akan diteruskan di Setia City Mall, Mid Valley KL, Mid Valley Southkey dan Sunway Pyramid dengan sokongan teknologi AirDoc AI Fundus yang boleh mengesan awal lebih 35 penyakit.


"Kami tidak mengubah unjuran hasil FY25 hingga FY27 dan menilai pulangan dividen FY25 pada 5.2% menjadikan Focus Point menarik untuk pelabur jangka sederhana," kata TA Securities. - DagangNews.com