Focus Lumber sedia mulakan usaha tanaman pokok industri di Sabah mulai April 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Focus Lumber sedia mulakan usaha tanaman pokok industri di Sabah mulai April 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 OktFocus Lumber Berhad (FLB) berada di fasa akhir sebelum memulakan operasi di bawah Perjanjian Penanaman Pokok Industri (ITPA) bersama Rakyat Berjaya Sdn Bhd (RBSB) di Sabah.


Syarikat pembangunan perladangan hutan yang ditubuhkan pada 1989 dan berpusat di Kota Kinabalu itu berkata, ia diteruskan selepas memperoleh kelulusan penting dari Jabatan Perhutanan Sabah (SFD).


FLB memaklumkan yang Rancangan Pembangunan Ladang (PDP) itu sudah diluluskan oleh SFD pada 9 September 2025, manakala Permit Coupe untuk tempoh selama 15 tahun dikeluarkan pada 23 Mei 2024.


"Pelan tersebut adalah sah sehingga 22 Mei 2039 dan boleh diperbaharui sepanjang tempoh konsesi," kata syarikat yang turut mengeksport papan lapis itu dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Bagaimanapun jelasnya, pelaksanaan aktiviti ladang dan penuaian pokok masih lagi tertakluk kepada kelulusan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri berkenaan.


Kegiatan berkenaan masih belum lagi dimuktamadkan kerana terdapat perbincangan dan semakan secara berterusan antara Forming Plantation Sdn Bhd (FPSB) dan Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (EPD).


Langkah ini bagi memastikan laporan sejajar dengan piawaian serta kemas kini terkini EPD, namun FLB menjangkakan semua keperluan ditetapkan SFD, RBSB dan EPD dapat dipenuhi dalam tempoh enam bulan.


"Kami menyasarkan pelaksanaan aktiviti tanaman dan pengurusan ladang dijadualkan bermula sebelum atau pada 7 April 2026," kata syarikat itu yang turut memiliki kilang pengeluaran di Keningau.


Sebagai persediaan awal, syarikat berkenaan ketika ini tambahnya, dalam proses untuk membina infrastruktur akses yang lebih lengkap ke kawasan ladang seperti ditetapkan dalam perjanjian ITPA.


Perkembangan ini merupakan lanjutan daripada pengumuman-pengumuman terdahulu yang dibuat pada 10 Oktober 2023, 11 Oktober 2023, 20 Jun 2024, 10 Oktober 2024 dan 10 April 2025. - DagangNews.com