KUALA LUMPUR 11 April — Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan mengambil langkah tegas sepanjang penangguhan selama 90 hari tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) untuk melindungi sektor perindustrian dan daya saing jangka panjang negara ini.
Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, walaupun penundaan tarif oleh Presiden Donald Trump itu menawarkan kelegaan jangka pendek, ketiadaan hala tuju jelas mengenai keputusan akhir pelaksanaan cukai tersebut terus memberi kesan kepada sentimen keyakinan perniagaan.
"Situasi itu menyebabkan ramai anggota FMM sendiri tidak menganggap penangguhan berkenaan sebagai tindakan muktamad, sebaliknya sebagai jendela kritikal untuk mempercepatkan, bukan melengahkan, dan tiada perancangan kontingensi," katanya dalam satu kenyataan.
Pada 2 April 2025, Trump mengumumkan satu siri tarif timbal balik terhadap produk dari kira-kira 90 negara termasuk Malaysia yang merangkumi cukai menyeluruh melebihi sebanyak 10 peratus dan akan dikenakan ke atas sebahagian besar import ke AS bermula 9 April 2025.
Bagaimanapun, pemimpin AS itu semalam dilaporkan mengumumkan penangguhan sementara kenaikan tarif lebih tinggi tersebut selama 90 hari untuk memberi ruang kepada beberapa rundingan perdagangan dengan rakan dagangnya yang terkesan akibat percukaian berkenaan.
Mengulas lanjut, FMM kata Thian Lai mengalu-alukan langkah kerajaan untuk menjalankan misi ke AS bagi menyertai perbincangan dengan rakan sejawatan utama dalam isu ini dan mengesyorkan empat langkah yang boleh diambil oleh Malaysia untuk mengatasi tarif timbal balik.
"Antaranya meneruskan bantuan yang disasarkan, terutamanya sektor produk getah, jentera perindustrian, komponen elektrik dan elektronik bukan semikonduktor, perabot, cat, peranti perubatan, pakaian serta sektor perkhidmatan pembuatan elektronik," katanya.
Tambah beliau, semua industri itu penting kepada ekosistem pembuatan Malaysia dan daya tahan rantaian bekalan AS malah FMM mengulangi gesaannya untuk sokongan segera kerajaan memperkukuh sektor pembuatan dengan mengkaji dasar yang meningkatkan kos operasi semasa.
Ia berkata terdapat juga keperluan untuk penubuhan segera Majlis Rantaian Bekalan Kebangsaan bagi menyelaraskan tindakan yang merentas pelbagai kementerian serta awam-swasta terhadap daya tahan perdagangan, kesinambungan logistik dan keselamatan industri.
Majlis ini jelas Thian Lai, akan membantu kerajaan dalam mengenal pasti segala kelemahan dan menyelaraskan pensijilan, infrastruktur serta strategi tenaga kerja untuk menyokong pengilang dengan lebih baik semasa gangguan disebabkan pelaksanaan tarif AS tersebut.
"Di peringkat serantau pula, FMM juga menggesa kerajaan agar memanfaatkan jawatan Pengerusi ASEAN Malaysia yang dipegang sepanjang 2025 ini untuk dapat mencadangkan penubuhan Majlis Penyelarasan Rantaian Bekalan ASEAN," katanya.
FMM juga menggesa kewaspadaan dan perlindungan proaktif untuk menangani risiko Malaysia akan menjadi destinasi eksport diubah hala daripada pasaran yang masih tertakluk kepada tarif AS terutamanya daripada negara tertentu menghadapi kadar cukai jauh lebih tinggi.
Lencongan perdagangan ini kata beliau, boleh membawa kepada kemasukan lambakan barangan import dari negara terbabit sehingga mengakibatkan persaingan yang semakin sengit, perang harga, dan akhirnya dibimbangi boleh menjejaskan daya maju pengeluar tempatan sendiri.
Thian Lai berkata, pengilang Malaysia telah menyatakan perasaan kurang senang terhadap kedua-dua kesan langsung dan tidak langsung daripada tarif timbal balik AS dengan ramai menjangkakan kos eksport meningkat sekurang-kurangnya 10 hingga 30 peritus.
"Di samping itu, tekanan yang meningkat daripada pembeli antarabangsa akan tercetus untuk menurunkan harga atau merundingkan semula terma tertentu. Sebagai tindak balas, syarikat perlu menyesuaikan rantaian bekalan, meneroka pasaran alternatif dan melibatkan diri dengan agensi berkaitan," tambahnya.
Selain itu, beliau berkata terdapat kebimbangan semakin meningkat bahawa Malaysia mungkin menghadapi kemasukan banyak produk yang diubah hala daripada pasaran mengalami kenaikan tarif tinggi, sehingga boleh menjejaskan daya saing industri tempatan.
FMM kata beliau, percaya bahawa sektor pembuatan Malaysia, jika disokong oleh dasar domestik yang betul dan penglibatan global secara proaktif, akan kekal sebagai hab boleh dipercayai dan berdaya saing dalam rantaian nilai global.
Tempoh penangguhan selama 90 hari akan datang mesti digunakan secara strategik bukan sahaja untuk menangani ancaman semasa tetapi juga untuk meletakkan asas bagi daya tahan jangka panjang pekilang Malaysia. - DagangNews.com








