FMM bidas peluasan SST dikhuatiri sangat merosakkan, beri kesan buruk kepada industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FMM bidas peluasan SST dikhuatiri sangat merosakkan, beri kesan buruk kepada industri

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Jun — Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) memberi amaran peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai 2025 akan memberi kesan 'sangat merosakkan' kepada hampir semua barangan dan perkhidmatan perkilangan.


Presidennya, Tan Sri Soh Thian Lai berkata, ia juga boleh memberi kesan buruk kepada industri serta menggesa pihak berkuasa menilai semula sistem percukaian itu dalam usaha menangani tekanan inflasi dan mencegah gangguan perniagaan.


Kebimbangan utama FMM kata beliau, ialah beban cukai baharu akan dikenakan ke atas mesin dan peralatan yang kebiasaannya turut diklasifikasikan sebagai perbelanjaan modal, serta dijangka selepas ini meningkatkan kos pelaburan.


"Ini termasuk item penting untuk menaik taraf barisan pengeluaran, mengautomasikan proses dan operasi skala. Pengenaan cukai ini ke atas barangan modal dikhuatiri boleh meningkatkan pula kos pelaburan kami," katanya dalam kenyataan.


Peluasan SST kata Thian Lai, juga bermakna kira-kira 97 peratus barangan dikenakan cukai jualan, yang berisiko melambatkan pengembangan perniagaan dan melembapkan keseluruhan pelaburan merentas sektor pembuatan dan komersial utama. 


Tambahnya, dengan sistem tarif Malaysia terdiri daripada 11,442 kod harmoni sistem (HS) piawai global untuk klasifikasi produk, pengembangan cukai ini menyebabkan hampir 100 peratus barangan akan tertakluk kepada cukai jualan.


FMM juga katanya, melahirkan kekecewaan kerana walaupun ia dirundingkan mengenai peluasan cukai jualan dengan pengecualian kekal bagi barang keperluan, namun 'tiada rundingan' pengembangan cukai perkhidmatan yang sama ketara.


"Ini memberi kesan kepada pengilang yang menyediakan perkhidmatan seperti pajakan jentera berat, pembinaan dan teknikal serta mewujudkan ketidakpastian bagi perniagaan terjejas berdepan kewajipan cukai perkhidmatan," kata Thian Lai.


Kesannya, juga meruncing dalam sektor perkhidmatan apabila nilai bercukai mencecah RM500,000 setiap tahun, turut diliputi skop peluasan cukai perkhidmatan termasuk penyewaan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan dan pendidikan.


Anggaran FMM menunjukkan, perniagaan logistik, pembuatan dan runcit bergantung kepada premis disewa boleh meningkat kos tahunan sehingga RM60,000 setiap premis serta mungkin dibebankan kepada pengguna atau operasi dikurangkan.


Kenaikan cukai ke atas perkhidmatan kewangan dan logistik juga, kata Thian Lai, akan melantunkan kesan sepanjang rantaian bekalan, yang memberi risiko kepada keputusan pelaburan, daya saing eksport dan kemajuan secara keseluruhan.


"Sebagai contoh, perniagaan membayar RM25,000 sebulan dalam sewa komersial akan kena tambahan RM2,000 sebulan atau RM24,000 setahun dalam cukai perkhidmatan. Kemudahan lebih besar turut kos meningkat hingga RM57,600," kata beliau.


Justeru tambahnya, FMM menggesa kerajaan agar menangguhkan penguatkuasaan peluasan SST sehingga penilaian impak ekonomi penuh diselesaikan dan mahu kemasukan pengecualian yang lebih luas, terutamanya untuk peralatan modal.


Ia mengulangi bahawa banyak pengeluar yang baru terjejas dengan situasi semasa, terutama sebelum ini tidak pernah berdaftar di bawah SST, masih memerlukan lebih masa untuk menyediakan dan mematuhi perubahan berkenaan. - DagangNews.com