KUALA LUMPUR 12 Mac — Syarikat-syarikat teknologi di Malaysia yang bergantung kepada barangan terhad seperti semikonduktor atau teknologi kecerdasan buatan (AI) berpotensi kehilangan lebih 50 peratus daripada pendapatan jika dimasukkan dalam senarai pihak disekat Amerika Syarikat (AS), kata seorang pakar.
Penasihat kanan asing firma guaman pakar dalam undang-undang komersial dan korporat Aqran Vijandran, Prof Dr Harald Sippel berkata, sebaik sahaja syarikat itu berada di dalam senarai, ia akan dipotong akses kepada pembekal kritikal, teknologi dan perkhidmatan kewangan.
Banyak rakan kongsi antarabangsa, termasuk bank, penanggung insurans dan penyedia logistik enggan menjalankan perniagaan dengan syarikat tersenarai tersebut bagi mengelakkan daripada dikenakan sekatan kedua oleh kerajaan AS.
“Ia bukan sahaja mengakibatkan kerugian perniagaan sedia ada tetapi menafikan peluang masa depan. Bagi pengeksport teknologi dan elektronik, ketidakupayaan untuk mencapai pasaran asing utama seperti AS atau Kesatuan Eropah (EU) boleh menjadi bencana," katanya.
Katanya, pasaran alternatif mungkin mempunyai permintaan yang lebih lemah atau menawarkan keuntungan yang lebih rendah.
Sippel mengulas mengenai skandal cip dialami oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Nvidia, yang menurutnya berfungsi sebagai peringatan tepat pada masanya untuk perniagaan Malaysia mengukuhkan langkah pematuhan mereka.
Cip dihasilkan syarikat itu didakwa diletakkan dalam pelayan yang dibekalkan oleh Dell dan Supermicro kepada syarikat yang berpangkalan di Singapura sebelum dihantar ke Malaysia, menurut laporan oleh penerbitan Singapura.
Kes cip itu dalam siasatan pihak berkuaa AS terhadap firma AI China, DeepSeek untuk menentukan sama ada ia membeli semikonduktor Nvidia yang canggih melalui pihak ketiga di Singapura, mengatasi sekatan Washington DC terhadap syarikat berkenaan.
Bagaimanapun, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, setakat ini belum ada apa-apa yang menunjukkan bahawa cip AI dikeluarkan Nvidia dalam pelayan dipindahkan ke Malaysia dari Singapura seperti yang didakwa.

Sippel, yang sebelum ini pernah menulis bahawa sekatan itu mewakili risiko yang lebih mendalam berbanding dengan tarif AS, berkata bahawa dimasukkan ke dalam senarai sekatan itu hanyalah separuh daripada masalah.
Isu lain ialah bagaimana untuk keluar daripada senarai tersebut, dan membolehkan operasi perniagaan disambung semula seperti biasa, katanya, sambil menambah bahawa proses itu rumit serta memakan masa.
Beliau berkata, syarikat terbabit mesti menunjukkan pematuhan penuh, melaksanakan langkah pemulihan, dan dalam banyak kes, memfailkan petisyen dengan badan kawal selia seperti Jabatan Perdagangan AS.
“Proses ini mengambil masa beberapa bulan hingga bertahun-tahun, tanpa jaminan kejayaan. Dalam sesetengah kes, syarikat kekal disekat selama-lamanya, terutamanya jika pelanggaran melibatkan isu kebimbangan keselamatan AS,” katanya.
Sippel seterusnya berkata bahawa ketidakpatuhan firma Malaysia terhadap kawalan eksport yang ketat juga boleh membawa kepada kehilangan keistimewaan eksport, dan akan memberi kesan besar kepada operasi perniagaan.
Ketiadaan keistimewaan eksport bermakna syarikat tidak boleh mengeksport produknya secara sah atau menerima komponen asing yang kritikal, yang seterusnya boleh melumpuhkan operasi, katanya.
Sippel berkata firma yang bergantung kepada rantaian bekalan antarabangsa boleh menyaksikan pengeluaran terhenti kerana kekurangan bahan mentah, perisian atau alat ganti.
"Ia juga boleh menjejaskan isu pembiayaan, kerana pihak bank mungkin melihat syarikat itu berisiko tinggi dan menyekat akses kepada pembiayaan kredit atau perdagangan," katanya.
Sippel berkata bagi perniagaan yang kerap mengeksport teknologi atau komponen berteknologi tinggi, memahami kedua-dua rangka kerja kawalan eksport Malaysia dan AS kini lebih kritikal berbanding sebelum ini.
Keadaan tersebut disebabkan pematuhan proaktif bukan sahaja akan melindungi perniagaan daripada penalti tetapi juga memastikan mereka mengekalkan reputasi yang kukuh dalam pasaran global. - DagangNews.com








