KUALA LUMPUR 15 Dis — Pasaran ekuiti tempatan dijangka meneruskan momentum positif sehingga 2026 dengan indeks penanda aras utama Bursa Malaysia, FBM KLCI diunjurkan mencecah 1,750 mata.
Menurut MBSB Research, sekiranya berlaku, pencapaian tersebut sekali gus mencatat paras tertinggi baharu pasca-Covid-19 yang pernah berlegar sekitar 1,550 sehingga 1,600 mata sebelum wabak itu.
Firma penyelidikan itu menerusi laporan strategik terbaharunya berkata, sentimen pasaran pada separuh kedua 2025 telah pulih dengan kukuh, disokong oleh asas makroekonomi yang semakin stabil.
"Pertumbuhan domestik yang mampan serta penilaian ekuiti masih tidak menuntut dijangka memacu pertumbuhan FBM KLCI sejak dilancarkan pada 5 Julai 2010," katanya dalam nota kajiannya hari ini.
Jelas MBSB Research, indeks yang mengukur prestasi 30 syarikat terbesar itu sebelum ini merekodkan kejatuhan 6.7% pada 1HCY25, namun berjaya bangkit dengan kenaikan 6.8% setakat ini dalam 2HCY25.
Perkembangan itu mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin pulih dengan unjuran ekonomi Malaysia berkembang 4.6% pada 2025 dan 4.3% pada 2026, dipacu oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Katanya lagi, seiring potensi positif itu, pendapatan korporat dijangka kembali berkembang dengan unjuran pertumbuhan keuntungan FBM KLCI sebanyak 7.7% pada 2026 selepas penyusutan pada 2025.
Dari sudut sektor pula jelas firma penyelidikan tersebut, Perkhidmatan Kewangan, Utiliti serta Produk dan Perkhidmatan Pengguna bakal menyumbang peningkatan terbesar untuk kuantum pendapatan,
"Sementara Industri Produk dan Perkhidmatan (P&S), Pengguna P&S serta Teknologi diramal berupaya mencatat pertumbuhan peratusan keuntungan yang tertinggi pada tahun depan," kata MBSB Research.
Firma berkenaan turut menegaskan, yang pasaran tempatan masih disokong oleh penilaian menarik, dengan FBM KLCI ketika ini diniagakan lebih rendah daripada purata 10 tahun sebanyak 16.0 kali.
Dari perspektif global, MBSB Research menjangkakan lebih banyak pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) pada 2026, susulan tanda-tanda kelemahan pasaran buruh AS.
Keadaan ini berpotensi mengukuhkan ringgit dan mencetuskan aliran masuk semula dana asing ke pasaran Malaysia, terutamanya apabila kadar dijangka menembusi paras RM4.00 bagi setiap AS$1.
"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap risiko luaran, termasuk kelembapan ekonomi AS serta geopolitik berskala besar, walaupun kebarangkalian rendah tetapi berimpak tinggi," ujarnya.
Secara keseluruhan, MBSB Research mengekalkan pandangan 'positif' namun berwaspada, dengan menjangkakan penilaian ekuiti kekal di bawah purata akibat kebimbangan luaran yang berterusan.
Selain sasaran FBM KLCI pada 1,750 mata, ia turut menetapkan sasaran FBM Emas Shariah pada 13,000 mata dan FBM 70 pada 18,800 mata bagi sepanjang 2026. - DagangNews.com








