Farm Price kaut untung bersih RM5.6 juta, naik 30.3% pada 1HFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farm Price kaut untung bersih RM5.6 juta, naik 30.3% pada 1HFY25

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Ogos 2025 – Farm Price Holdings Berhad mencatatkan untung bersih RM5.6 juta bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun 2025, berbanding RM4.3 juta dalam tempoh sama tahun lalu.


Kumpulan pengedar borong dan runcit bagi pelbagai jenis sayur-sayuran segar, produk makanan dan minuman (F&B), serta barangan runcit berpangkalan di Johor itu berkata, ia meningkat 30.3%.


Lonjakan keuntungan ini dipacu oleh ketiadaan kos penyenaraian bukan berulang yang ditanggung dalam 1HFY24 walaupun hasil kumpulan sedikit menurun kepada RM60.5 juta daripada RM61.3 juta setahun lalu.


"Prestasi kewangan Farm Price adalah kekal kukuh dengan margin keuntungan yang dipertingkatkan dan strategi pengurusan kos yang berkesan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.


Bagi suku kedua 2025, ia merekodkan untung bersih RM3.1 juta, melonjak 88.6% berbanding RM1.7 juta pada suku sama tahun lalu dengan hasil suku itu berjumlah RM30.6 juta, hampir sama dengan 2QFY24.


Peningkatan yang amat besar ini kata kumpulan tersebut, disumbangkan oleh kos perolehan sayur-sayuran didapati lebih rendah serta faktor ketiadaan perbelanjaan dalam penyenaraian secara bukan berulang.


Dari sudut suku-ke-suku (QoQ), hasil meningkat 2.8% daripada sebanyak RM29.8 juta pada 1QFY25, manakala untung bersih naik kira-kira 24.5%, yang turut mencerminkan kestabilan permintaan pasaran.


"Segmen borong terus menjadi penyumbang utama, iaitu 93.7% daripada jumlah hasil 1HFY25, manakala baki daripada segmen runcit manakala dari sudut geografi, pasaran domestik adalah besar," katanya.


Farm Price menambah, Malaysia menyumbang 70.3% daripada hasil, dengan sumbangan Singapura pula didapati meningkat kepada 29.7%, yang turut menandakan pertumbuhan kukuh dalam pasaran eksport.


Pengarah Urusan Farm Price, Dr. Lawrence Tiong Lee Chian berkata, syarikat terus membuat kemajuan stabil dalam inisiatif pengembangan serantau termasuk pembinaan pusat agihan terbaharunya di Sabah.


Fasiliti yang ditubuhkan pada Februari 2025 itu sudah menunjukkan perkembangan positif, dan kumpulan tersebut tambah beliau, menjangkakan sumbangan yang lebih kukuh pada tempoh suku-suku akan datang


"Projek Pusat Agihan Berpusat (CDC) di Senai, Johor kini telah 85% siap, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2025 yang akan menggandakan keluasan binaan kepada 13,893 meter persegi," katanya.


Ia bakal meningkatkan keupayaan Farm Price dalam usaha menyediakan perkhidmatan bernilai tambah seperti pembungkusan dan pemotongan sayur segar bagi memenuhi permintaan meningkat di Singapura.


Lee Chian menambah, kumpulan itu kekal komited melakukan inisiatif pertumbuhan, termasuk memperluas liputan pengedaran geografi, memperkukuh kecekapan operasi dan meneroka peluang pelaburan baharu.

 

Selain itu, syarikat bersinergi untuk pengembangan secara mendatar melangkaui sektor sayur-sayuran dan semua usaha ini turut menyumbang kepada agenda keselamatan makanan serantau. - DagangNews.com