Farhash kata 'gila', nafi terlibat dalam insiden serangan ke atas anak Rafizi di Putrajaya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farhash kata 'gila', nafi terlibat dalam insiden serangan ke atas anak Rafizi di Putrajaya

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Ogos — Usahawan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menafikan dakwaan konon dikaitkan dalam serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli.

 

Portal berita Malaysiakini melaporkan, bekas Setiausaha Politik kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat itu, turut menyifatkan tuduhan tersebut sebagai 'gila'.

 

Sebelum ini, Anwar pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam memberi jaminan siasatan insiden terhadap anak bekas Menteri Ekonomi itu dilakukan secara telus dan rapi.

 

Terdahulu, Rafizi dilaporkan percaya bahawa serangan terhadap anaknya itu mempunyai kaitan dengan pertemuan dirinya bersama sekumpulan pemberi maklumat mengenai satu skandal kewangan negara ini.

 

Beliau yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu berkata, tindakan tersebut juga merupakan bentuk amaran dan seperti usaha cuba menutup mulutnya daripada terus membongkarkan isu berkenaan.

 

Malah, ketika ditanya pemberita di Parlimen sama ada skandal itu mempunyai kaitan dengan mana-mana ahli politik, Rafizi hanya menyerahkan kepada pihak polis untuk melakukan siasatan lebih lanjut.

 

Dalam kejadian pada 13 Ogos 2025, serangan tersebut berlaku ketika anak dan isteri Rafizi dikatakan baru sahaja hendak memasuki kereta sebelum mereka beredar dari sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

 

Bagaimanapun, anaknya yang berusia 12 tahun ditarik secara tiba-tiba oleh beberapa individu serta dicucuk dengan jarum suntikan, namun mangsa dilaporkan tidak pula mengalami sebarang kecederaan fizikal.

 

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 2 petang di kawasan mengambil dan menurunkan penumpang di kompleks beli-belah berkenaan. - DagangNews.com