Farhash buat laporan polis nafi jadi warga Türkiye, difitnah konon bawa lari duit ke luar negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farhash buat laporan polis nafi jadi warga Türkiye, difitnah konon bawa lari duit ke luar negara

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 6 Mei – Ahli perniagaan, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak menegaskan tidak pernah menukar kewarganegaraan kepada Türkiye dan menyifatkan sebagai fitnah berniat jahat.


Beliau turut menyangkal keras dakwaan sensasi oleh pihak tertentu kononnya pernah terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram berjumlah berbilion-bilion ringgit yang cuba dilarikannya ke luar negara.


Menerusi kenyataan, beliau turut membuat laporan polis susulan penyebaran dakwaan liar itu yang disifatkan sebagai cubaan mencemarkan reputasi serta menjejaskan integriti urusan perniagaannya.

 

 

 

 

 


“Saya tegas menafikan semua tuduhan ini. Ia tidak benar dan tidak berasas. Saya juga bukan warga Turkiye, serta tidak terlibat aktiviti pengubahan wang haram,” katanya dipetik portal harapanmadani.com.


Farhash yang merupakan bekas setiausaha politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu, merujuk kepada beberapa laporan yang diterbitkan pelbagai portal berhubung satu rakaman video perbualan antara dua orang. 


Mengulas tuduhan yang disebutkan oleh individu berkenaan, Farhash turut menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan kononnya dirinya pernah terbabit dalam kegiatan haram mencuri dana tertentu.


Antaranya ujar beliau, kes pengaliran wang ke luar negara termasuk di Turkiye dan Afrika, serta penyebaran dakwaan itu dipercayai ada motif yang boleh dikaitkan dengan kepentingan politik pihak tertentu.


Penyebaran Video

Justeru, beliau memandang serius penyebaran video itu dan maklumat tidak sahih yang tular menerusi platform media sosial, serta menegaskan tindakan itu berpotensi melanggar undang-undang negara.


Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan berkaitan fitnah.

 

 

 

 

 


“Saya akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini dan tindakan undang-undang juga akan diambil terhadap pihak yang menyebarkan fitnah berkenaa,” kata Farhash.


Pada masa sama, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan atau mempercayai dakwaan tidak sahih, serta memberi ruang kepada siasatan dijalankan secara adil dan telus. - DagangNews.com