Facebook/Meta bayar cukai kepada kerajaan, tapi jumlah dirahsiakan - MOF beritahu Parlimen | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Facebook/Meta bayar cukai kepada kerajaan, tapi jumlah dirahsiakan - MOF beritahu Parlimen

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mac — Facebook/Meta Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan digital kepada pengguna di negara ini membayar cukai pendapatan dan cukai perkhidmatan digital yang dikenakan kerajaan namun jumlah tersebut dirahsiakan, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 

"Semakan mendapati Facebook/Meta Malaysia telah berdaftar dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dan telah melaporkan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) serta membayar cukai pendapatan yang sepatutnya," kata beliau.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam jawapan Parlimen kepada soalan Pang Hok Liang (PH-Labis) pada Khamis.
 

Hock Liang ingin tahu berapakah cukai yang telah dibayar oleh Facebook/Meta kepada kerajaan Malaysia setiap tahun dan jumlah keuntungan bersih tahunan syarikat berkenaan di Malaysia.
 

Anwar menjelaskan, berdasarkan Seksyen 4 Akta Cukai Pendapatan 1967, laba atau keuntungan yang diperoleh Facebook/Meta daripada perniagaan yang dijalankan di Malaysia adalah tertakluk kepada kenaan cukai pendapatan di negara ini.
 

Seksyen tersebut menetapkan jenis pendapatan dikenakan cukai di Malaysia antaranya adalah seperti laba atau keuntungan sesuatu perniagaan bagi sesuatu tempoh; daripada pelupusan aset modal; serta dividen, faedah atau diskaun yang diterima.
 

"Selain itu, Facebook/Meta Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan yang menyediakan perkhidmatan digital kepada pengguna di Malaysia juga adalah tertakluk kepada kenaan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan digital," jelas Anwar. 


Justeru tambahnya, Facebook/Meta Malaysia telah berdaftar dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sejak 2020 untuk mengena, mengutip dan mengakaunkan cukai perkhidmatan kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan digital disediakan.


Bagaimanapun, mengenai jumlah cukai yang dibayar oleh syarikat tersebut, beliau memaklumkan bahawa maklumat percukaian bagi seseorang pembayar cukai merupakan maklumat terperingkat yang tidak boleh didedahkan kepada umum. 


"Ini adalah selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 138(2)(c) Akta Cukai Pendapatan 1967 dan subseksyen 6(1), Akta Cukai Perkhidmatan 2018," katanya. - DagangNews.com