KUALA LUMPUR 30 Sept – Exsim Hospitality Berhad mampu mencatat pertumbuhan pendapatan teras yang hebat sehingga mencecah sebanyak 49.9% pada tahun kewangan 2026, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut menambah, hasil kumpulan itu, yang sebelum ini dikenali PAN Malaysia Holdings Berhad, juga disasarkan meningkat 38.4% dan 38.0% masing-masing bagi FY27 dan FY28.
Tambahnya, pertumbuhan kukuh ini disokong oleh buku tempahan terkumpul bernilai RM204 juta setakat akhir Jun 2025, selain jangkaan berlaku pengisian semula banyak kontrak baharu yang konsisten.
"Kami jangka RM250 juta hingga RM300 juta setahun bagi tiga tahun akan datang, serta melihat Exsim Hospitality sebagai pemain strategik untuk banyak sektor," kata TA Securities dalam satu notanya.
Antaranya, sektor rekaan dalaman, kerja penambahbaikan dan hospitaliti yang berpotensi besar untuk berkembang luas sejajar dengan rancangan pembangunan serta pemacu nilai korporat seperti REIT.
Syarikat ini jelasnya, merupakan penerima manfaat utama rangkaian pembangunan hartanah berskala besar oleh Exsim Group, yang menyumbang aliran kerja mampan segmen rekaan dalaman dan 'fit-out'.
Selain itu kata TA Securities, pendekatan strategi hibrid hospitaliti yang diterapkan merangkumi pemilikan, pembangunan, serta pengurusan penginapan – meletakkannya dalam kedudukan istimewa.
"Exsim Hospitality mampu merebut peluang sektor pelancongan yang pulih selepas wabak Covid-19 dan kini menyasar 3,560 unit inventori hospitaliti dalam tempoh lima tahun akan datang," jelasnya.
Perkembangan itu dijangka menjana pendapatan berulang dan mengukuhkan margin operasi syarikat dengan firma tersebut turut menetapkan harga sasaran 54 sesaham berdasarkan penilaian semasa.
TA Securities turut mengetengahkan potensi pelancaran REIT hospitality oleh kumpulan ini pada masa akan datang, yang mampu membuka nilai tambahan kepada pemegang saham dan profil pasaran syarikat.
Langkah itu menjadikan Exsim Hospitality sebagai penyedia aset pelaburan berpendapatan tetap dengan asas perniagaan kukuh, aliran kerja mampan serta prospek penstrukturan nilai masa depan.
"Kami percaya kumpulan ini sebenarnya berupaya menawarkan peluang pelaburan yang menarik untuk jangka sederhana dan panjang,” menurut laporan penyelidikan firma itu. - DagangNews.com








