EWI Capital alih strategi fokus kepada dana pejabat tertutup Australia – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EWI Capital alih strategi fokus kepada dana pejabat tertutup Australia – Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 DisEWI Capital Berhad yang sebelum ini dikenali Eco World International Berhad baru-baru ini mengumumkan kerugian bersih teras pada FY25 yang lebih rendah daripada jangkaan.


Susulan itu, Maybank Investment Bank menurunkan harga sasaran saham (TP) kepada 18 sen daripada 27 sen, selaras penyesuaian berikutan pengurangan nilai buku akibat isu kerugian pelupusan aset.


Firma tersebut menekankan, kumpulan itu kini memberi fokus kepada hasil sewa daripada dana pejabat tertutup di Australia, serta meninggalkan pembangunan hartanah domestik sebagai aktiviti utama.


"Strategi ini membuka peluang menarik dalam pasaran pejabat di Australia, tetapi berisiko lebih panjang untuk pelabur tempatan berbanding REIT tersenarai," jelasnya dalam nota kajian hari ini.


Tambah Maybank IB, dana yang sedia ada sudah menawarkan pulangan dan kecairan lebih jelas, dengan berdasarkan situasi itu, ia menurunkan saranan ke atas EWI Capital daripada 'pegang' kepada 'jual'.


Bagi 4QFY25, kumpulan itu mencatatkan kerugian teras berjumlah RM8.3 juta selepas pengecualian kerugian tukaran asing (forex) sebanyak RM2.6 juta dan pelupusan aset kira-kira RM394.4 juta.


Keadaan itu menjadikan kerugian FY25 sebanyak RM12.6 juta, 17% lebih rendah daripada jangkaan, namun dari segi jualan, ia merekodkan RM172 juta, dan baki stok belum terjual ialah RM125 juta.


"EWI Capital melabur A$77 juta (RM209 juta) daripada A$100 juta (RM272 juta) komitmen dalam Trust Capital Australian Office Fund No.3, dengan sasaran pendapatan bermula 2HFY26," kata Maybank IB.


Penglibatan kerjasama JLG Australia–Sedenak pula jelas firma penyelidikan itu, kini dilihat tidak akan diteruskan, dengan pengurusan EWI Capital bercadang menjual tanah di Macquarie Park, Sydney.


Ia menegaskan, walaupun kerugian FY26 dan FY27 dijangka menurun 29% susulan kos pentadbiran lebih rendah, tiada projek pembangunan tempatan baharu yang diumumkan kumpulan itu setakat ini.


Firma itu menegaskan pelabur mungkin memilih REIT yang memberi pulangan, berbanding menunggu lapan tahun untuk matang dana pejabat tertutup atau potensi keuntungan modal. - DagangNews.com