Eupe catat untung bersih RM25 juta bagi FY26, jatuh 43% akibat fasa peralihan kitaran projek | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eupe catat untung bersih RM25 juta bagi FY26, jatuh 43% akibat fasa peralihan kitaran projek

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 30 JunEupe Corporation Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM25.1 juta bagi tahun kewangan yang berakhir 28 Februari 2026 (FY26), merosot 42.8% berbanding RM43.9 juta pada FY25.

 

Penurunan prestasi ini disebabkan secara utama oleh fasa peralihan dalam kitaran pembangunan hartanah kumpulan berkenaan, melibatkan projek-projek berskala besar seperti Helix2 @ PJ South dan Villa Natura.

 

Ujarnya, perkembangan kedua-dua projek hartanah berkenaan sudah mencapai tahap penyiapan, sekali gus mewujudkan jurang sebelum pengiktirafan pendapatan daripada pelancaran kitaran projek baharu.

 

"Hasil turut susut kepada RM338.0 juta berbanding RM418.3 juta pada FY25, dan keuntungan sebelum cukai (PBT) hanya RM45.1 juta, jatuh 34% berbanding tahun sebelumnya," maklum Eupe kepada Bursa Malaysia.

 

Syarikat namun mengekalkan pembayaran dividen 2.2 sen sesaham, konsisten dengan kadar tahun lalu, manakala dana pemegang saham naik kepada RM552.9 juta, yang mencerminkan kunci kira-kira stabil.

 

Eupe_DagangNews2026

 

Sementara itu, Pengerusinya, Alfian Tan Sri Mohamed Basir menyatakan tahun kewangan lalu merupakan permulaan transisi penting bagi kumpulan daripada tempoh daya tahan kepada fasa pembaharuan.

 

Meskipun mencatatkan penurunan hasil, Eupe bersedia  memasuki kitaran pertumbuhan terbesar dalam sejarah dengan banyak projek yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM2.0 bilion.

 

"Antara projek  yang akan memacu perkembangan semula termasuk Circadia @ Belfield di Kuala Lumpur dengan GDV melebihi RM1 billion dan Edgewater Estate di Utara dengan GDV RM700 juta," katanya.

 

Sementara itu jelas beliau, projek pembangunan Bangsar di ibu negara pula ketika ini masih lagi dalam peringkat perancangan dan dijangka dilancarkan kumpulan pada separuh pertama tahun depan.

 

Eupe menjangkakan tempoh hasil dan keuntungan sederhana ini berterusan sehingga FY27, sebelum menunjukkan peningkatan semula apabila projek baharu dilancarkan mulai FY28. - DagangNews.com