KUALA LUMPUR 12 Mei – Syarikat infrastruktur digital global, Equinix Inc mengumumkan rancangan untuk memperluaskan operasi di Malaysia menerusi pembangunan pusat data baharu iaitu KL2 bagi menyokong pertumbuhan pesat kecerdasan buatan (AI), pengkomputeran awan dan ekonomi digital serantau.
Pembangunan ini dilihat sebagai langkah strategik jangka panjang syarikat tersebut dalam memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai salah satu hab digital utama di ASEAN, selaras dengan peningkatan permintaan terhadap infrastruktur digital berprestasi tinggi.
Kemudahan KL2 akan dibina berhampiran Cyberjaya iaitu tidak jauh daripada pusat data sedia ada KL1 yang akan mengukuhkan lagi ekosistem digital Equinix di kawasan Lembah Klang.
KL2 merupakan pusat data keempat Equinix di Malaysia, selain operasi sedia ada di KL1 serta pembangunan di Johor menerusi JH1 dan JH2 yang turut menjadi sebahagian daripada pelan pengembangan jangka panjang syarikat.
Secara keseluruhan, projek ini melibatkan pelaburan melebihi AS$190 juta dan dijangka menyediakan lebih 2,200 kabinet apabila siap sepenuhnya, menjadikannya antara kemudahan digital berskala besar di negara ini.
Equinix memaklumkan KL2 direka khusus untuk menyokong beban kerja moden termasuk kecerdasan buatan, pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC), serta sistem awan hibrid yang semakin digunakan oleh syarikat global.
Sebahagian kapasiti pusat data ini turut dilengkapi teknologi penyejukan cecair (liquid cooling) bagi menampung keperluan pengkomputeran berketumpatan tinggi, khususnya untuk aplikasi AI generasi baharu.
Selain itu, KL2 turut dibangunkan untuk menyokong konsep AI teragih yang membolehkan pemprosesan data dilakukan lebih dekat dengan sumber bagi meningkatkan kelajuan dan kecekapan operasi.
Pengarah Urusan Equinix Malaysia, Cheam Tat Inn berkata, pembangunan KL2 akan memperkukuh aspirasi Malaysia dalam bidang AI serta membantu syarikat tempatan dan global meningkatkan keupayaan digital mereka.
“Infrastruktur ini bukan sahaja menyokong transformasi digital, tetapi juga membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi serta memperkukuh daya tahan ekonomi digital negara dalam jangka panjang,” katanya.
Pusat data ini juga akan diintegrasikan sepenuhnya dengan rangkaian global Equinix melalui platform Equinix Fabric® serta teknologi Fabric Intelligence®, yang membolehkan pengurusan rangkaian lebih pintar, adaptif dan berasaskan analitik AI.
Integrasi ini turut menghubungkan kemudahan di Malaysia termasuk KL1, KL2 dan JH1 dengan pusat data di Singapura untuk membentuk rangkaian digital serantau yang lebih bersepadu antara Kuala Lumpur, Johor dan Singapura.
Menurut syarikat itu, lebih dua pertiga pelanggan di KL1 kini beroperasi merentasi pelbagai pasaran metro, mencerminkan perubahan trend syarikat yang tidak lagi melihat lokasi secara berasingan tetapi sebagai ekosistem serantau.
Secara global, Equinix mengendalikan lebih 280 pusat data di 77 pasaran merentasi 36 negara dan menyokong lebih 10,500 syarikat dalam mempercepatkan transformasi digital mereka.
Di rantau Asia Pasifik, syarikat itu mempunyai 65 pusat data di beberapa negara termasuk Malaysia, Singapura, Indonesia, India, Jepun, Korea, Australia dan China, yang menyokong pertumbuhan ekonomi digital serantau.
Dari sudut kelestarian, KL2 direka untuk mencapai tahap kecekapan tenaga tinggi dengan sasaran penggunaan tenaga boleh diperbaharui 100 peratus, selaras dengan komitmen global Equinix menjelang 2030.
Projek ini juga sejajar dengan APDCA Sustainable Digital Infrastructure Accord, yang menekankan pembangunan infrastruktur digital hijau dan mampan di rantau Asia Pasifik.- DagangNews.com








