Epicon, NCT Alliance jalin usaha sama bangunkan projek hartanah bernilai RM72 juta di Batang Kali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Epicon, NCT Alliance jalin usaha sama bangunkan projek hartanah bernilai RM72 juta di Batang Kali

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 OktEpicon Berhad mengambil langkah strategik mempelbagaikan aliran pendapatan syarikat berkenaan dengan menceburi sektor hartanah melalui usaha sama bernilai RM72.13 juta.


Kumpulan tersebut, yang sebelum ini lebih dikenali sebagai Konsortium Transnasional Berhad berkata, projek terbaharu berkenaan melibatkan anak syarikatnya, Epicon Land Sdn Bhd dengan NCT Alliance Berhad.


Ia memeterai Perjanjian Pembangunan Bersama Bersyarat dengan anak syarikat milik penuh NCT Alliance, NCT Noble Sdn Bhd, bagi membangunkan sejumlah 876 unit rumah teres setingkat di Batang Kali, Selangor.


"Projek ini dijangka mempunyai anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM347.68 juta dan akan dibiayai menerusi gabungan dana dalaman serta pembiayaan luar," kata Epicon dalam satu kenyataan.


Jelasnya, NCT Noble, selaku pemilik tanah berkenaan, akan menerima hak pemilikan kawasan itu sebanyak RM72.13 juta, iaitu diskaun kira-kira 2.5% daripada keseluruhan nilai pasaran tanah di situ.


Berdasarkan perjanjian yang dimeterai, Epicon memaklumkan yang permohonan perintah pembangunan sudah dikemukakan kepada Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan kini menunggu kelulusan.


Langkah ini menandakan satu fasa baharu syarikat yang selama ini lebih dikenali dalam sektor pembinaan dan melihat potensi sektor hartanah sebagai penyumbang utama kepada prestasi kewangan.


Epicon menambah, dengan penyertaan hartanahnya dijangka menyumbang 25% atau lebih daripada keuntungan dan aset bersih kumpulan pada masa depan, syarikat wajar meneroka peluang berkenaan.


“Kami berasa yakin yang langkah ini akan memperkukuhkan asas pendapatan syarikat dan berupaya menambah nilai jangka panjang kepada para pemegang saham sendiri,” menurut kenyataan tersebut lagi.


Batang Kali dikenal pasti sebagai kawasan berpotensi tinggi kerana kedudukan strategik hanya 20 kilometer dari pusat peranginan Genting Highlands, Pahang dan akses mudah ke seluruh Lembah Klang.


Projek pembangunan perumahan jenis mampu milik ini jelas Epicon, dijangka mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan pembeli rumah pertama dan kalangan pelabur hartanah tempatan.


Syarikat itu menjalani penjenamaan semula pada tahun lalu, sebagai sebahagian pelan transformasi korporat untuk mempelbagaikan portfolionya melangkaui industri pengangkutan dan pembinaan.


Langkah memasuki pembangunan hartanah dilihat sejajar dengan strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan tersebut dalam sektor-sektor bernilai tinggi dan berpotensi memberi pulangan mampan.


"Melalui projek usaha sama ini, Epicon tidak hanya memperluaskan bidang perniagaannya, malah turut mengukuhkan kedudukan dalam industri hartanah yang terus berkembang di Malaysia," katanya.


Pembangunan rumah teres di Batang Kali menjadi permulaan kepada penglibatan lebih besar dan membuka peluang pertumbuhan yang luas bagi kumpulan dalam tahun-tahun berikutnya. - DagangNews.com