EPG bina pusat data seluas 10 hektar bernilai RM360 juta di Senai Airport City | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPG bina pusat data seluas 10 hektar bernilai RM360 juta di Senai Airport City

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 Mac - EPG Data Center Module Sdn Bhd membina sebuah fasiliti bagi menempatkan pusat data baharunya berkeluasan 10.29 hektar dengan kos pelaburan yang bernilai RM360 juta di kawasan Fasa 3, Senai Airport City, Johor.
 

Syarikat tersebut berkata, projek pembangunan berkenaan menandakan satu pencapaian penting dalam ekosistem infrastruktur digital di rantau ini dan mengukuhkan kedudukan EPG sebagai penyedia rumusan bersepadu pusat data terkemuka di Malaysia.
 

Pelaburan EPG dalam pertumbuhan Johor, juga sejajar dengan wawasan Industri 4.0 Malaysia dan projek ini dijangka meningkatkan keupayaan pembuatan di Johor serta mengukuhkan kedudukannya sebagai hab infrastruktur digital, inovasi dan pembuatan termaju di ASEAN.


Pengasas dan Pengerusi EPG, Alick Wan berkata, pembangunan tersebut ini adalah bukti komitmen jangka panjang syarikat berkenaan untuk menyampaikan rumusan pusat data yang bertaraf dunia di samping menyokong cita-cita Malaysia menjadi peneraju prasarana digital.


"Senai Airport City yang berkeluasan 1,100 hektar, telah berkembang pesat menjadi ekosistem komprehensif bagi kecerdasan buatan (AI) dan kejayaan ini diperkuatkan dengan kehadiran banyak syarikat terkemuka menempatkan operasi di sini," katanya dalam kenyataan.


Majlis pecah tanah premis itu dihadiri Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching; Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, dan Hal Ehwal Pengguna Johor, Lee Ting Han.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Senai Airport City, Gan Seng Keong pula menekankan kepentingan kehadiran EPG, dengan menyatakan bahawa ia semakin mengukuhkan peranan Senai Airport City sebagai destinasi utama bagi pelaburan bernilai tinggi.


Penumpuan pelbagai syarikat infrastruktur digital yang semakin meningkat di kawasan itu bukan sahaja mengukuhkan peranan Senai Airport City sebagai hab utama inovasi, tetapi juga memacu pertumbuhan ekosistem digital secara dinamik dan maju di Johor.


"Dengan lokasi strategik, ketersambungan yang unggul, serta platform berinfrastruktur lengkap, kami yakin Senai Airport City akan terus menjadi pemacu utama inovasi dan destinasi pilihan bagi peneraju teknologi global," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com