KUALA LUMPUR 3 Okt – EPB Group Berhad mengumumkan pengagihan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025 (FY25).
Menurut penyedia rumusan sehenti bagi mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan itu, tarikh kelayakan dividen ditetapkan pada 6 November 2025, manakala pembayaran pada 26 November 2025.
Pengarah Urusannya, Yeoh Chee Min berkata, pengisytiharan dividen itu mencerminkan keyakinan terhadap asas kukuh syarikat di samping komitmen berterusan dalam mencipta nilai jangka panjang.
"Ia adalah tanda penghargaan kepada semua pemegang saham atas sokongan berterusan mereka. Kami berjanji akan terus memluaskan kehadiran di pasaran ASEAN," katanya dalam satu kenyataan.
Pengisytiharan dividen ini jelas beliau, berikutan prestasi kewangan kukuh EPB sendiri serta pencapaian strategik syarikat termasuk selepas penyenaraian sulung di Pasaran ACE pada 23 Ogos 2024.
Kata Chee Min, selain itu ia susulan kejayaan pelbagai kerjasama dalam pembangunan peranti perubatan berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
Tambahan pula jelasnya, pembinaan kilang baharu di Pulau Pinang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran dan pelbagai usaha pengukuhan rumusan berasaskan automasi juga menjana hasil baharu.
"EPB terus komited kepada inovasi, pengembangan serantau dan amalan perniagaan mampan dalam usaha memenuhi permintaan industri pemprosesan makanan yang berkembang," katanya. - DagangNews.com








