EPB Group rancang pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EPB Group rancang pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 9 April – EPB Group Berhad, penyedia perkhidmatan mesin pemprosesan dan pembungkusan makanan merancang untuk memindahkan senarai sahamnya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Langkah ini dianggap sebagai satu tonggak penting dalam evolusi korporat syarikat.

 

Seiring cadangan pemindahan ini, EPB turut merancang untuk melaksanakan pindaan perlembagaan syarikat bagi menyelaraskan dengan keperluan Pasaran Utama agar mematuhi piawaiannya.

 

Pindaan yang dicadangkan bersifat teknikal dan berkaitan tadbir urus korporat, termasuk pengemaskinian definisi dan rujukan kepada rangka kerja peraturan yang relevan. Ini adalah langkah penting untuk menyediakan syarikat menghadapi keperluan Pasaran Utama.

 

Antara penambahbaikan utama termasuk pengurusan tempoh perkhidmatan pengarah bebas, di mana perkhidmatan melebihi sembilan tahun boleh diteruskan hingga maksimum 12 tahun, tertakluk kepada kelulusan pemegang saham melalui proses undian dua peringkat, sejajar dengan kod tadbir urus korporat Malaysia.

 

EPB berkata pindaan perlembagaan dan pemindahan ke Pasaran Utama adalah saling bergantung, dan hanya akan berkuat kuasa setelah pemindahan berjaya untuk memastikan proses pematuhan undang-undang dan peraturan berjalan lancar.

 

Pengarah Urusan EPB, Yeoh Chee Min, berkata pemindahan ke Pasaran Utama adalah proses yang akan mengukuhkan profil korporat dan meningkatkan akses kepada pelabur institusi.

 

Sejak penubuhannya pada 1992, EPB telah berkembang daripada  syarikat perniagaan mesin pembungkusan manual kepada penyediaan rumusan lengkap termasuk reka bentuk, pengubahsuaian, fabrikasi, integrasi dan pengeluaran makanan lebih moden.

 

Selain itu, EPB turut mengembangkan perniagaannya dalam perdagangan casings selulosa dan pengeluaran serta perdagangan bahan pembungkusan fleksibel, menjadikan syarikat sebagai pemain serba boleh dalam industri pemprosesan makanan di Malaysia.

 

Dengan langkah ini, EPB berharap untuk meningkatkan reputasi korporat, menarik lebih ramai pelabur, dan mengukuhkan kedudukannya di pasaran serantau, menandakan era baru pertumbuhan dan kematangan syarikat dalam sektor pemprosesan dan pembungkusan makanan. - DagangNews.com