KUALA LUMPUR 14 Ogos — Eonmetall Group Berhad mula mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM4.11 juta pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025, berbanding keuntungan bersih RM702,000 setahun sebelumnya.
Kumpulan itu berkata, penyusutan berkenaan disebabkan oleh kos pengeluaran yang lebih tinggi selain pemampatan margin, serta isu rosot nilai RM1.58 juta dalam produk keluli dan segmen dagangannya.
Bagaimanapun tambahnya, pendapatan syarikat meningkat 15.5 peratus tahun ke tahun kepada RM41.22 juta, disokong oleh jualan yang lebih kukuh dalam jentera dan peralatan serta segmen produk keluli.
"Peningkatan penggunaan bahan mentah dan 'overhead' namun lebih tinggi, termasuk elektrik dan sewa menjejaskan keuntungan. Tiada dividen diisytiharkan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Sementara itu bagi tempoh separuh pertama 2025, Eonmetall mencatatkan kerugian bersih terkumpul sebanyak RM9 juta berbanding keuntungan bersih RM21.53 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Kata kumpulan berkenaan yang kebanyakannya terlibat dalam pembuatan rak perindustrian dan sistem rak, kemerosotan tersebut berpunca daripada pendapatan susut 1.6 peratus kepada RM75.13 juta.
Ia memberi amaran bahawa lebihan kapasiti global dan permintaan yang lemah dalam sektor keluli, akan terus menimbulkan masalah dan menghalang kemasukan semulanya ke pasaran Amerika Syarikat (AS).
"Situasi itu diburukkan lagi dengan ketidaktentuan tarif AS, yang selama ini adalah sifar sebelum dikenakan pula 24 peratus dan dinaikkan 25 peratus, tetapi akhirnya disemak semula kepada 19 peratus," katanya.
Secara keseluruhan, Eonmetall namun tetap optimis secara berhati-hati mengenai prospek perniagaan jentera berkaitan minyak sawitnya, dengan disokong oleh harga minyak sawit mentah yang tinggi.
Pada masa yang sama, kumpulan berkenaan merancang untuk menguruskan operasi perniagaannya secara lebih berhemat untuk mengurangkan jumlah kerugian terkumpul syarikat. - DagangNews.com








