Enra peroleh kontrak RM136.56 juta sedia sokongan operasi minyak Malaysia-Thailand | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enra peroleh kontrak RM136.56 juta sedia sokongan operasi minyak Malaysia-Thailand

Gambar Facebook Enra Group Berhad
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Jun — Enra Group Berhad menerusi anak syarikatnya, Hexagon Energy Logistics Sdn Bhd (HELSB) memperoleh kontrak terbaharu yang bernilai AS$32.09 juta (kira-kira RM136.56 juta).


Ia susulan pemeteraian perjanjian dengan SIP JDA Sdn Bhd pada 20 Jun 2025 berhubung penyediaan rumusan tangki simpanan bagi menyokong operasi Carigali-PTTEPI Operating Company Sdn Bhd.


Kumpulan itu berkata, ia melibatkan kerja-kerja di Kawasan Pembangunan Petroleum Bersama Malaysia-Thailand yang terletak di Blok B-17 dan C-19 di Teluk Thailand berdekatan Laut China Selatan.


"Kontrak tersebut berkuat kuasa untuk tempoh selama 12 bulan bermula dari 1 Oktober 2025 sehingga 30 September 2026," kata Enra dalam satu makluman difailkannya kepada Bursa Malaysia hari ini.


Carigali-PTTEPI merupakan operator di bawah perjanjian bersama kedua-dua negara antara PETRONAS Carigali JDA Ltd dan PTTEP International Ltd untuk penerokaan petroleum di kawasan berkenaan.


Perjanjian itu kata Enra, tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham yang besar kerana ia tidak melibatkan sebarang peruntukan atau terbitan saham baharu.


Tambah kumpulan berkenaan, selain daripada risiko operasi yang biasa, Lembaga Pengarah Enra tidak mengetahui sebarang faktor risiko lain sekiranya mungkin timbul susulan pemeteraian kontrak itu.


Justeru katanya, kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan sesaham, aset bersih sesaham dan penggearan kumpulan itu untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Mac 2026.


"Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat atau orang yang berkaitan dengan mereka yang ada sebarang kepentingan, secara langsung atau tidak, dalam perjanjian itu," katanya. - DagangNews.com