Enra bekerjasama dengan Boustead teroka peluang penyelenggaraan kapal TLDM selama setahun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enra bekerjasama dengan Boustead teroka peluang penyelenggaraan kapal TLDM selama setahun

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 AprilEnra Group Berhad menjalinkan kerjasama dengan Boustead Holdings Berhad bagi meneroka peluang dalam aspek penyelenggaraan aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).


Katanya, ia hasil pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara anak syarikatnya, Enra Energy Solutions Sdn Bhd dengan Boustead yang dimiliki sepenuhnya Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).


Bagaimanapun menurut makluman kumpulan tersebut kepada Bursa Malaysia, kerjasama berkenaan tidak dijangka memberikan sebarang impak kewangan secara segera terhadap kedudukan syarikat itu sendiri.


"Kerjasama ini bertujuan meneroka peluang dalam perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bagi sistem pendorongan kapal serta penjanaan tenaga," jelas Enra dalam kenyataan.


Di samping itu, penyertaan bersama dalam tender projek turut melibatkan sokongan kitar hayat untuk kapal TLDM, perkongsian kepakaran teknikal dan usaha pembangunan perniagaan yang diselaraskan.


Selain daripada itu ujarnya, kedua-dua pihak tersebut turut akan menilai dari segi pembangunan keupayaan kodifikasi termasuk pengenalpastian alat ganti, penyeragaman serta rangka kerja sokongan logistik.


MoU berkenaan berkuat kuasa selama setahun sehingga 20 April 2027 dan boleh disambung berdasarkan persetujuan bersama, atau dimuktamadkan melalui perjanjian rasmi yang mengikat pada masa hadapan.


Enra namun menegaskan MoU berkenaan tidak melibatkan sebarang komitmen kewangan buat masa ini, dengan sebarang pelaburan atau projek akan dimuktamadkan melalui perjanjian secara berasingan.


“Sehubungan itu, tiada kesan material dijangka terhadap segala pendapatan, aset bersih atau tahap penggearan bagi tahun kewangan kumpulan ini yang berakhir pada 31 Mac 2027 kelak,” tambahnya.


Pada masa sama jelasnya, kumpulan tersebut berpandangan yang kerjasama itu turut berpotensi dalam mengukuhkan lagi kedudukan strategik Enra menerusi sektor maritim untuk tempoh jangka panjang.


Lembaga Pengarah turut menyatakan yang MoU itu adalah demi kepentingan terbaik syarikat, tanpa sebarang kepentingan pemegang saham utama dalam urus niaga tersebut. - DagangNews.com