Enproserve terima kelulusan Bursa Securities untuk disenaraikan di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enproserve terima kelulusan Bursa Securities untuk disenaraikan di Pasaran ACE

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Mac - Enproserve Group Berhad telah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Berhad untuk penyenaraian syarikat perkhidmatan kejuruteraan mekanikal dan awam itu dalam Pasaran ACE.
 

Pengarah Urusan Kumpulannya, Azman Yusof berkata, syarikat itu akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang melibatkan terbitan 210 juta saham biasa baharu dan tawaran untuk penjualan 105 juta saham biasa yang sedia ada.
 

Sejumlah 52.5 juta saham terbitan awam katanya, akan disediakan kepada orang awam Malaysia melalui pengundian, manakala 18,316,000 saham itu diberikan kepada pengarah, pekerja dan para pemegang kepentingan Enproserve yang layak.
 

Sementara 139,184 saham terbitan awam bakal disediakan kepada pelabur terpilih, 139,184 lagi secara penempatan persendirian manakala 105 juta saham di bawah tawaran untuk dijual pula akan disediakan kepada pelabur yang terpilih.
 

"Usaha mencari penyenaraian di Pasaran ACE adalah misi kami membuka jalan mengembangkan jejak operasi di seluruh Malaysia dan meningkatkan tawaran untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan syarikat itu.
 

Beliau berharap Enproserve selepas penyenaraian itu dapat memperluaskan rangkaian pelanggan merentasi rantaian nilai minyak dan gas (O&G) serta meraih manfaat daripada peranan penting petrokimia dalam ekonomi Malaysia yang berkembang maju.

 

Azman yakin penerbitan IPO itu akan menarik minat ramai kerana imej positif syarikat itu disokong oleh rekod prestasi yang mengagumkan, dan berharap untuk meningkatkan tahap baharu dalam menyampaikan kejayaan yang berterusan.


Melainkan keadaan yang tidak dijangka katanya, Enproserve menyasarkan untuk disenaraikan pada suku kedua 2025 dengan KAF Investment Bank Berhad ialah penasihat utama, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk pengapungan di bursa.


"Berpengalaman lebih dua dekad, kami ialah penyedia perkhidmatan hiliran terkemuka untuk syarikat O&G dan petrokimia utama di Malaysia yang beroperasi di Johor, Melaka dan Terengganu," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.


Kumpulan itu jelasnya, mengkhusus dalam perkhidmatan penyelenggaraan loji dan pemulihan (PMT) serta kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), terutamanya untuk industri hiliran O&G dan petrokimia di Malaysia.


Dengan penglibatan yang ketara dalam sektor huluan dan pertengahan, Enproserve telah lama menjadi penyedia perkhidmatan kepada syarikat O&G nasional, Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sejak lebih 15 tahun lalu. 


Ia diakreditasi sepenuhnya melalui lesen Petronas dengan pendaftaran kod Kategori Kerja dan Peralatan Piawaian (SWEC) yang memberi kuasa kepada Enproserve untuk menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada sektor O&G dan petrokimia negara ini.


Sebagai kontraktor Gred G7 berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), ia boleh menjalankan projek tiada nilai terhad dengan memegang klasifikasi B02 bagi pembinaan bangunan dan loji dengan struktur rangka keluli serta F01 untuk kemudahan bangunan dan infrastruktur. - DagangNews.com