KUALA LUMPUR 28 Ogos – Khee San Bhd kini boleh menggunakan Kembali enam akaun bank milik anak syarikat milik penuhnya, Khee San Food Industries Sdn Bhd (KSFI), selepas pembekuan terhadap akaun tersebut ditarik balik pada 27 Ogos 2026.
Pengeluar produk konfeksi itu berkata, enam akaun berkenaan telah dibuka semula kira-kira pukul 7.30 malam dan boleh digunakan oleh KSFI untuk menjalankan urusan syarikat seperti biasa.
Menurut Khee San, perkembangan itu dapat mengurangkan dengan ketara kesan segera terhadap operasi syarikat susulan pembekuan akaun tersebut sebelum ini.
Lembaga pengarah syarikat berkata, perkara tersebut tidak dijangka memberi kesan kewangan yang besar kepada keseluruhan Kumpulan berdasarkan laporan setakat ini.
Enam akaun bank berkenaan yang mempunyai baki keseluruhan kira-kira RM1.89 juta telah dibekukan pada 21 Ogos lalu susulan satu siasatan di bawah undang-undang berkaitan pencegahan pengubahan wang haram di Malaysia.
Timbulkan Kebimbangan
Sebelum ini, pembekuan akaun tersebut menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan terhadap urusan harian dan operasi KSFI kerana dana dalam akaun berkenaan tidak dapat digunakan.
Bagaimanapun, keputusan menarik balik pembekuan itu membolehkan anak syarikat Khee San kembali mengakses dan menggunakan enam akaun berkenaan bagi keperluan operasinya.
ARTIKEL BERKAITAN: Khee San hadapi gangguan operasi setelah enam akaun bank anak syarikat dibekukan
Khee San sebelum ini berkata, pihaknya masih belum menerima penjelasan bertulis secara rasmi daripada pihak polis mengenai punca yang membawa kepada siasatan tersebut.
Pada masa sama, syarikat itu menegaskan perkara berkenaan tidak mempunyai kaitan dengan operasi atau aktiviti perniagaan kumpulan.
Perkembangan terbaharu itu dilihat dapat meredakan kebimbangan terhadap kesan segera isu tersebut terhadap operasi Khee San, khususnya selepas akses kepada akaun bank milik anak syarikatnya dipulihkan.
Letak Jawatan
Pada 24 Ogos, pemegang saham terbesar Khee San, Datuk Seri Ngu Tieng Ung meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Eksekutif pengeluar produk konfeksi itu berkuat kuasa serta-merta atas alasan peribadi.
Peletakan jawatan Ngu, 59, berlaku tiga hari selepas enam akaun bank milik anak syarikat utama Khee San itu dibekukan.
Ngu menyertai Lembaga Pengarah Khee San pada 24 September 2024 sebelum dilantik semula sebagai Pengerusi Eksekutif kira-kira setahun kemudian, menggantikan Yong Loong Chen yang kemudiannya dilantik sebagai Pengarah Urusan. - DagangNews.com








