KUALA LUMPUR 17 April – Pengendali rangkaian Empire Sushi, Empire Premium Food Berhad menyasarkan pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) antara 3% hingga 5% setahun, disokong oleh pemulihan sentimen perbelanjaan pengguna di outletnya.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nicole Lim berkata sasaran itu disokong oleh kekuatan jenama serta kualiti makanan terbaik yang konsisten ditawarkan kepada pelanggan di seluruh rangkaiannya.
“Walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi, corak perbelanjaan pengguna terhadap produk syarikat kekal stabil kerana harga sushi yang ditawarkan adalah mampu milik.
“Model perniagaan yang menjual sushi dalam bentuk kepingan kecil dan harga berpatutan turut membolehkan pelanggan mengawal perbelanjaan mengikut bajet masing-masing,” katanya.
Syarikat itu kini mengendalikan sebanyak 143 cawangan di seluruh negara, terdiri daripada 127 outlet konsep grab-and-go dan 16 outlet quick dine-in.
Namun begitu, SSSG kumpulan tersebut telah mencatatkan penurunan selama tiga tahun berturut-turut daripada 12.2% pada tahun kewangan 2023 kepada 5.5% pada tahun kewangan 2025.
Bagi tempoh sembilan bulan terkini, SSSG kumpulan itu berada pada 5.7%, menunjukkan tanda pemulihan berbanding tahun sebelumnya.

Dalam perkembangan berkaitan, perbelanjaan purata setiap pelanggan juga menunjukkan peningkatan kepada RM21 dalam tempoh sembilan bulan terkini berbanding RM19.3 pada FY2025 dan RM18.9 pada FY2024.
Nicole berkata peningkatan ini mencerminkan kekuatan produk serta strategi syarikat dalam memperkenalkan menu baharu secara berterusan tanpa terlalu bergantung kepada kenaikan harga.
Tambahnya syarikat mempunyai pengalaman lebih 12 tahun dalam industri makanan dan minuman yang membolehkan mereka mengurus tekanan inflasi dengan lebih baik.
Sementara itu, margin keuntungan kasar kumpulan meningkat daripada 39.4% pada FY2023 kepada 41.7% pada FY2025, manakala margin keuntungan selepas cukai turut meningkat daripada 10.6% kepada 16.1%.
Bagi suku ketiga berakhir 31 Disember 2025, kumpulan itu mencatatkan keuntungan bersih RM14.64 juta dengan hasil sebanyak RM81 juta.
Untuk tempoh sembilan bulan, Empire Premium Food mencatatkan keuntungan bersih RM35.14 juta dengan hasil sebanyak RM216.83 juta.
Saham syarikat itu bagaimanapun mencatatkan prestasi kukuh pada hari penyenaraian apabila dibuka dengan premium 57% berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO), mencerminkan minat pelabur yang tinggi terhadap prospek pertumbuhan kumpulan. - DagangNews.com








