KUALA LUMPUR 24 April - Kehadiran pesawat tempur ringan FA-50M dalam inventori Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini semakin hampir apabila kumpulan pertama pesawat tersebut telah siap.
Sebanyak empat pesawat dijangka diterima TUDM dalam masa terdekat sebelum dijadualkan terbang pulang ke tanah air pada Oktober ini.
Perkembangan terkini itu dikongsikan TUDM menerusi foto lawatan kerja Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato' Seri Muhamad Norazlan Aris ke Korea Selatan.
Beliau dan delegasi TUDM ke fasiliti Korea Aerospace Industries (KAI) di Sacheon, Wilayah Gyeongsang Selatan dari 12 hingga 15 April lalu.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau sendiri perkembangan projek perolehan pesawat FA-50M.
Semasa di sana, beliau turut menerima taklimat terperinci merangkumi pembangunan, integrasi sistem serta jadual penghantaran pesawat.
Selain itu, beliau berpeluang melihat secara dekat proses pemasangan serta integrasi sistem pesawat di fasiliti KAI.
Tinjauan berkenaan memberi keyakinan bahawa projek berjalan mengikut perancangan serta memenuhi keperluan operasi TUDM.


Perbincangan turut diadakan bagi mengenal pasti cabaran pelaksanaan serta langkah mitigasi demi memastikan kelancaran program.
Dalam masa sama, persiapan sumber manusia turut diperkukuhkan apabila 6 juruterbang TUDM kini menjalani latihan intensif bersama Tentera Udara Republik Korea.
Latihan selama 15 minggu itu merangkumi pembelajaran teori, simulator serta penerbangan sebenar menggunakan pesawat T-50 dan TA-50.


Ia bertujuan memastikan juruterbang mahir mengendalikan sistem pesawat keluarga T-50 sebelum FA-50M tiba.
Selepas tamat fasa tersebut, juruterbang akan meneruskan latihan Lead-In Fighter Training (LIFT) yang lebih menumpukan aspek tempur udara.

Pada masa sama, persiapan infrastruktur di Pangkalan Udara Kuantan, Pahang turut giat dilaksanakan bagi menyokong operasi pesawat baharu ini.
Antaranya aspek penyimpanan alat ganti serta kemudahan penyimpanan peluru bagi menilai keperluan dan kesiapsiagaan sokongan logistik.
Langkah menyeluruh ini mencerminkan kesediaan TUDM untuk mengoperasikan FA-50M secara efektif dalam memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Kontrak perolehan 18 pesawat FA-50M bernilai RM4 bilion dimeterai pada 2023 antara kerajaan Malaysia dengan KAI.
TUDM akan mengoperasikan varian FA-50 paling moden dengan ciri-ciri menyamai pesawat tempur sebenar termasuk dilengkapi peluru berpandu termoden. - DagangNews.com







