Embraer KC-390 Millennium calon sesuai ganti pesawat pengangkut taktikal lama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Embraer KC-390 Millennium calon sesuai ganti pesawat pengangkut taktikal lama

Pesawat pengangkut taktikal generasi baharu, KC-390 Milenium.
Oleh Zaki Salleh

LANGKAWI 22 Mei - Embraer, peneraju global dalam industri aeroangkasa dari Brazil mempamerkan pesawat pengangkut taktikal paling canggih dalam kelasnya, KC-390 Millennium pada LIMA 2025.

 

Ini merupakan kehadiran kali pertama Embraer KC-390 Milenium ke Malaysia sekali gus meletakkan kepentingan LIMA dalam senarai destinasi pemasarannya.

 

Fokus Embraer adalah untuk menembusi pasaran negara pengguna yang berpotensi untuk menggantikan pesawat pengangkut taktikal generasi lama.

 

Dalam pasaran global, KC-390 bersaing dengan pesawat Hercules C-130J buatan Lockheed Martin, Amerika Syarikat.

 

Malaysia antara negara berpotensi memandangkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut mengoperasikan 15 pesawat C-130H.

 

Pesawat

 

 

Pesawat

 

Sebahagian besarnya digunakan sejak tahun 1976 manakala selebihnya varian yang diterima antara tahun 1993 hingga 2002

 

Timbalan Presiden, Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Asia Pasifik dan Timur Tengah Embraer Defense & Security, Caetano Neto berkata, pesawat pengangkut pelbagai misi generasi baharu itu yang direka untuk memenuhi persekitaran operasi abad ke-21. 

 

Menurut beliau, sebanyak 42 buah pesawat KC-390 Millennium Embraer dijual dengan 10 pesawat telah pun digunakan oleh negara-negara pembeli.

 

“Pesawat ini telah pun digunakan tentera udara Brazil, Portugal dan Hungary dan juga telah ditempah oleh Korea Selatan, Belanda, Austria, Republik Czech dan pelanggan yang tidak didedahkan. 

 

Pesawat

 

Pesawat

 

“Baru-baru ini, pesawat tersebut telah dipilih oleh Sweden dan Slovakia untuk keperluan pertahanan negara masing-masing,” ujarnya pada sesi penerangan tentang pesawat KC-390 kepada media di sini.

 

Jelas Caetano, KC-390 reka bentuk dalaman pesawat membolehkan ia diubah suai dalam tempoh singkat untuk melaksanakan pelbagai misi udara.

 

“Ia boleh membawa beban sehingga 26 tan atau 80 anggota tentera, 66 tentera payung terjun, 74 pengusung sebagai ambulans udara selain kenderaan seperti 3 buah bersaiz Humvee, sebuah helikopter dan kenderaan perisai.

 

“Pesawat tersebut adalah yang paling canggih dalam kelasnya dan terbang lebih pantas iaitu 470 knots,” ujarnya.

 

Pesawat

 

Dengan rekaan dan ciri-ciri serba moden, KC-390 dilengkapi dengan sistem penderia dan peralatan komunikasi moden dan komprehensif yang menyokong ketersambungan penting antara pesawat, arahan operasi dan tentera di darat. 

 

Selain itu, KC-390 mempunyai sistem peperangan elektronik bersepadu yang mantap dan sistem perlindungan pesawat. - DagangNews.com