KUALA LUMPUR 5 Jan — Elsoft Research Berhad memulakan penutupan secara sukarela ke atas anak syarikat milik penuhnya, AGS Automation (Malaysia) Sdn Bhd setelah lama tidak aktif beroperasi.
Kumpulan rumusan automasi dan peralatan ujian berteknologi tinggi yang berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu berkata, proses pembubaran susidiari tersebut berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Tambahnya, langkah penggulungan berkenaan selaras dengan Seksyen 439(1)(b) Akta Syarikat 2016, namun tidak didedahkan bilakah syarikat itu ditubuhkan dan lokasi pejabatnya melalui kenyataan itu.
"Ooi Yoong Yoong daripada firma AD-Consult (Penang) Sdn Bhd telah dilantik sebagai pelikuidasi bagi menguruskan proses penggulungan tersebut," kata Elsoft dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, ia menjelaskan yang AGS Automation sudah tidak aktif dan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk meneruskan apa-apa bentuk perniagaan atau operasi baharu pada masa hadapan.
Dari segi kewangan tambahnya, penggulungan sukarela ini tidak dijangka memberi kesan material terhadap pendapatan atau aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2026.
Selain itu, Elsoft menegaskan tiada pengarah atau pemegang saham utama, atau individu berkaitan, mempunyai kepentingan secara langsung atau tidak dalam proses penggulungan sukarela tersebut.
Saham kumpulan berkenaan diniagakan lemah di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada pukul 3 petang, apabila didagangkan kepada 25 sen sesaham, iaitu jatuh kira-kira 1.96%. - DagangNews.com








