Ekuinas labur dalam Ain Medicare melalui dana Tranche IV RM1 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekuinas labur dalam Ain Medicare melalui dana Tranche IV RM1 bilion

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 April – Syarikat ekuiti persendirian milik kerajaan, Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) membuat pelaburan strategik dalam syarikat farmaseutikal dari Kelantan, Ain Medicare, bagi menyokong fasa pertumbuhan seterusnya, melalui dana Tranche IV bernilai RM1 bilion.

 

Pelaburan ini dibuat daripada dana Tranche IV Ekuinas selaras dengan mandat syarikat untuk membangunkan perusahaan Bumiputera dalam sektor strategik yang menyumbang kepada ketahanan ekonomi jangka panjang Malaysia.

 

Sebelum ini, Ain Medicare menerima bantuan awal daripada VentureTECH, anak syarikat milik penuh Malaysian Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) yang membantu syarikat itu memperluaskan operasi dan kapasiti pengeluaran dari 2017 hingga 2025.

 

Ain Medicare, yang ditubuhkan pada 1993 dan berpusat di Kota Bharu, Kelantan, mengendalikan tujuh pusat pengeluaran di Kota Bharu dan Kulim dengan hampir 1,400 pekerja, majoritinya Bumiputera.

 

Syarikat ini menumpukan kepada penghasilan farmaseutikal steril suntikan, termasuk cecair intravena, suntikan bersaiz kecil, cecair penyiraman, dan concentrate dialisis.

 

Pangkalan pelanggan Ain Medicare merangkumi kerajaan Malaysia, penyedia kesihatan swasta serta pasaran antarabangsa, dengan eksport produk ke 17 pasaran di Timur Tengah, Asia Pasifik, Eropah, Amerika Selatan dan Oseania.

 

Dalam kenyataannya, Ekuinas memaklumkan pelaburan ini menyokong pertumbuhan industri farmaseutikal Malaysia dan memperkukuh pemilikan Bumiputera di bawah agenda nasional GEAR-uP melalui strategi Bumiputera Relay Race.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar berkata sektor farmaseutikal adalah industri keutamaan dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan industri bernilai tinggi serta ketahanan nasional.

 

“Dengan rekod 30 tahun, pangkalan pelanggan yang pelbagai dan projek R&D yang kukuh, Ain Medicare telah menempatkan dirinya sebagai peneraju tempatan dalam produk parenteral steril,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden dan CEO PNB, Datuk Rick Ramli yang juga Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Ekuinas berkata perjalanan Ain Medicare mencerminkan kejayaan strategi Bumiputera Relay Race, di mana syarikat diberi sokongan institusi secara berperingkat untuk memperkukuh kapasiti operasi sebelum fasa pertumbuhan seterusnya.

 

“Sokongan koordinasi daripada institusi seperti VentureTECH dan Ekuinas membolehkan syarikat Bumiputera berpotensi tinggi berkembang secara lebih berkesan, sejajar dengan ekosistem PNB yang memaksimumkan selaras modal, kepakaran dan penciptaan nilai jangka panjang,” katanya.

 

Dalam pada itu, Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah pula berkata kerjasama dengan Ekuinas akan mempercepatkan lagi rancangan pertumbuhan syarikat dengan memanfaatkan modal dan kepakaran institusi untuk meningkatkan skala dan daya saingnya.

 

Pelaburan ini dijangka membolehkan Ain Medicare terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju dalam industri farmaseutikal steril, sambil menyokong pemilikan Bumiputera dan penyertaan Malaysia dalam pasaran antarabangsa. - DagangNews.com