KUALA LUMPUR 19 Feb — Nilai eksport produk kayu meningkat 4.9 peratus kepada RM22.9 bilion pada tahun lepas, berbanding 2023, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Ghani.
Malahan ujarnya, industri perkayuan Malaysia merupakan penyumbang eksport ketiga yang paling besar bagi produk hiliran agrikomoditi selepas minyak sawit (RM114.4 bilion) dan getah (RM33.7 bilion).
Beliau kemudian menambah bahawa destinasi pasaran eksport utama produk kayu tempatan termasuk Amerika Syarikat (AS) selain terdapat beberapa buah negara lagi di benua Eropah dan Asia.
Bagaimanapun beliau berasa kesal apabila mendapati kadar penyertaan golongan Bumiputera dalam industri perkayuan negara ini sejak sekian lama masih lagi dilihat sebagai terlalu rendah.
“Meskipun ada peningkatan berbanding 2023, usahawan Bumiputera masih menyumbang kurang daripada satu peratus atau RM44 juta daripada keseluruhan jumlah eksport kayu dan produk kayu," jelasnya.
“Kebanyakan pengusaha Bumiputera ini pula masih dalam kategori perusahaan mikro dan kecil,” katanya berucap pada perasmian Simposium Pemerkasaan Bumiputera dalam Industri Perkayuan di Putrajaya.
Bercakap kepada pemberita selepas itu, Johari berkata syarikat Bumiputera dalam industri ini perlu menjalin kerjasama dengan bukan Bumiputera untuk meluaskan bahagian pasaran dan mengukuhkan daya saing.
Justeru, beliau menekankan kepentingan mereka mewujudkan ekosistem yang dapat membantu syarikat Bumiputera agar bersaing sihat terutama melalui rangkaian rantaian bekalan yang lebih kukuh.
“Mereka (syarikat Bumiputera) perlu kerjasama dengan bukan Bumiputera yang berjaya di negara kita kerana ada rantaian. Banyak idea daripada syarikat Bumiputera ini tidak dapat dijana jika tiada perkara itu.
“Kita tidak boleh lagi hanya bekerja secara berasingan dalam dunia perniagaan sengit sebegini kerana bidang perniagaan adalah sesuatu yang universal,” katanya. - DagangNews.com








