Eksport Malaysia pada Mei 2025 jatuh buat pertama kali akibat kurang penghantaran ke China | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia pada Mei 2025 jatuh buat pertama kali akibat kurang penghantaran ke China

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Jun — Eksport Malaysia pada Mei 2025 merosot buat pertama kali tahun ini yang disebabkan penurunan mendadak bagi penghantaran produk terutama petroleum ke China dan Jepun.


Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, secara keseluruhannya, eksport menyusut 1.1% tahun ke tahun (y-o-y) atau 5.2% bulan ke bulan (m-o-m) kepada sebanyak RM126.62 bilion


Katanya, eksport ke Amerika Syarikat (AS) pula namun menyaksikan lonjakan berterusan ketika pengeksport mula memanfaatkan tempoh penangguhan 90 hari sebelum pelaksanaan tarif yang lebih tinggi.


"Eksport ke AS meningkat 16%, bulan kelapan berturut-turut pertumbuhan dua angka, didorong oleh elektronik dan makanan diproses serta mesin, peralatan dan alat ganti," kata MITI dalam kenyataan.


Ia menambah, walaupun tinjauan sektor perdagangan Malaysia adalah kekal positif, tetapi tindak balas dasar yang proaktif akan menjadi penting untuk mengekalkan momentum pertumbuhan ini.


Penghantaran produk elektrik dan elektronik (E&E) merangkumi lebih 42.4% daripada jumlah eksport, meningkat 7% y-o-y diikuti peningkatan 16.4% dalam eksport jentera, peralatan dan alat ganti.


Bagaimanapun kata MITI, eksport produk petroleum jatuh hampir 30% pada bulan berkenaan, manakala dari segi pasaran, penghantaran kepada rakan dagangan terbesar iaitu China jatuh 4.3% y-o-y.


"Perkembangan tersebut disebabkan oleh eksport gas asli cecair, logam dan kertas yang lebih rendah, sementara import pula meningkat 6.6% tahun y-o-y kepada RM125.86 bilion," tambahnya.


Keadaan positif berkenaan katanya, didorong oleh penghantaran masuk lebih tinggi produk E&E dan barang berkaitan jentera untuk memenuhi permintaan pelbagai projek pembangunan di seluruh negara.


MITI menambah, pengimportan barangan modal pula didapati melonjak sebanyak 63.7%, sebahagian besar berikutan oleh faktor peningkatan untuk pembelian produk yang bukan berkaitan pengangkutan. 


Import barangan perantaraan meliputi komponen dan bahan yang digunakan dalam pemasangan akhir produk seperti kereta dan komputer jatuh 4.4% disebabkan oleh bahan api dan pelincir utama.


"Import barangan penggunaan pula didapati susut sebanyak 1.1%, kesan daripada permintaan yang lebih perlahan ke atas perniagaan makanan dan minuman utama bagi kegunaan isi rumah," katanya.


Pada asas m-o-m, jumlah import turun 2% dan secara keseluruhan tambah MITI, kemerosotan eksport ditambah dengan peningkatan import, mengecilkan secara mendadak lebihan dagangan pada Mei 2025.


Keadaan itu menyaksikan Malaysia mencatatkan lebihan kepada RM766.3 juta yang pada umumnya, adalah turun 92.3% berdasarkan asas y-o-y dan menyusut 85.2% jika perbandingan dibuat secara m-o-m.


Malaysia namun berpeluang mendapat manfaat perdagangan ketara daripada pengembangan dalam jualan semikonduktor global walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu ketika ini.  - DagangNews.com