Eksport Malaysia dijangka lemah akibat tarif AS - penganalisis industri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia dijangka lemah akibat tarif AS - penganalisis industri

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Ogos — Pengeluaran perindustrian Malaysia dijangka merosot dalam beberapa bulan berikutan aktiviti pengeksportan yang berkurangan untuk menyerap tarif Amerika Syarikat (AS).

 

Penganalisis berpandangan, ia boleh berlaku walaupun pertumbuhan indeks pengeluaran perindustrian (IPI) negara mengatasi jangkaan pada Jun, apabila berkembang tiga peratus tahun ke tahun (y-o-y).

 

Kedua-dua industri berorientasikan eksport dan domestik menurut penganalisis, diramalkan kekal berdaya tahan dengan pengembangan masing-masing sebanyak 2.4 peratus dan 5.6 peratus y-o-y.

 

"Kami menggariskan bahawa sebahagian daripada kekuatan IPI ini mungkin mencerminkan aktiviti muatan hadapan susulan daripada kenaikan tarif AS," kata BIMB Securities dalam nota kajiannya.

 

Dengan tarif timbal balik ditetapkan mulai 8 Ogos 2025, firma penyelidikan itu menjangka momentum pertumbuhan menjadi sederhana pada separuh kedua 2025 apabila muatan hadapan lebih awal berakhir.

 

Dalam jangka pendek, ia menjangka sektor yang berorientasikan eksport menyaksikan peningkatan menjelang tarikh akhir pengenaan tarif AS, dan menambah risiko penurunan selanjutnya masih kekal.

 

AS melaksanakan tarif 19 peratus ke atas eksport Malaysia berbanding sifar sebelum ini, setanding negara jiran serantau Thailand dan Filipina, namun kurang sedikit berbanding Vietnam dengan 20 peratus.

 

"Ini bakal menambah beban kepada persekitaran global yang semakin mencabar dan kemungkinan besar melembapkan momentum eksport Malaysia sebaik sahaja tarif berkuat kuasa," kata BIMB Securities.

 

Tambah firma penyelidikan berkenaan, lebih membimbangkan ialah tarif kejutan 100 peratus ke atas semua produk semikonduktor dari seluruh dunia yang diumumkan Presiden AS Donald Trump semalam.

 

Walaupun masih belum jelas, ia menyatakan jika menjadi kenyataan, impaknya besar memandangkan produk elektrik dan elektronik (E&E) menyumbang 40 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.

 

Liputan tarif lebih luas akan menimbulkan risiko ketara kepada perdagangan Malaysia, sentimen pelabur dan prestasi sektor luaran, menambah tekanan lanjut kepada tinjauan jangka terdekat.

 

"Ini terutamanya bagi industri yang bergantung penuh kepada eksport yang sudah berdepan dengan permintaan global semakin lemah dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan,” kata firma itu.

 

Sementara itu, RHB Research dalam nota yang berasingan berkata, sektor berorientasikan eksport dijangka menghadapi beban akibat pelaksanaan kedua-dua tarif langsung AS ke atas Malaysia.

 

Kata firma penyelidikan tersebut, kesan limpahan yang lebih luas daripada ketegangan perdagangan secara berterusan akan lebih teruk dialami oleh syarikat industri E&E, bahan mentah dan jentera.

 

“Melangkah ke hadapan, kami akan memantau dengan teliti impak tarif khusus terhadap sektor tertentu, yang boleh memberi implikasi besar kepada industri dipacu eksport Malaysia,” tambahnya.

 

Nota BIMB Securities dan RHB Research tidak memberikan ramalan IPI. Sementara itu, MBSB Research mengekalkan unjuran pertumbuhan IPI tahunan 2% pada 2025, sederhana berbanding 3.7% pada 2024.

 

Walaupun firma itu juga kekal berhati-hati bahawa permintaan asing lebih lemah boleh menjejaskan aktiviti pengeluaran pada Julai 2025, ia namun masih menjangkakan ada pertumbuhan berterusan.

 

Ia dalam perbelanjaan domestik untuk memacu pengeluaran barangan berorientasikan domestik dan menyatakan aktiviti pemuatan hadapan pada awal tahun, melebihi 2% lompatan y-o-y dalam IPI.

 

"Kami mendapati ia direkodkan untuk Januari, Mac, April dan kini Jun yang akan mengekalkan pertumbuhan IPI dalam keadaan positif pada asas setahun penuh," kara MBSB Research. - DagangNews.com