Eksport Malaysia dijangka berdepan tekanan pada suku kedua 2026 meskipun momentum semasa kekal kukuh - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia dijangka berdepan tekanan pada suku kedua 2026 meskipun momentum semasa kekal kukuh - CGSI

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 21 Mei - Momentum eksport Malaysia dijangka kekal berdaya tahan dalam tempoh terdekat, namun prospeknya bagi separuh kedua 2026 (2H26F) dilihat semakin mencabar susulan ketidaktentuan permintaan global, kelembapan ekonomi China dan gangguan rantaian bekalan yang berterusan, menurut CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, prestasi eksport pada April 2026 menunjukkan pertumbuhan masih disokong sektor utama seperti elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi berkaitan petroleum, sekali gus dijangka membantu mengekalkan momentum pertumbuhan sehingga separuh pertama tahun ini.

 

Menurutnya, sektor E&E terus menjadi pemacu utama eksport negara apabila menyumbang 47.8% daripada jumlah eksport tahun ke tarikh (YTD), meningkat berbanding 44.3% pada 2025.

 

“Pengumuman Persatuan Industri Semikonduktor jualan cip global masih berada di landasan mencapai sasaran 2026 memberi petunjuk permintaan semikonduktor kekal kukuh dalam jangka pendek,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Katanya, permintaan berkaitan kecerdasan buatan (AI), pusat data dan elektronik automotif terus menyokong pertumbuhan eksport semikonduktor Malaysia.

 

Titik Kelemahan Prestasi Eksport

Namun begitu, peningkatan kebergantungan eksport kepada sektor E&E turut meningkatkan pendedahan negara terhadap kitaran semikonduktor global.

 

“Sekiranya momentum teknologi global mula sederhana apabila kitaran semasa kembali normal, sektor ini boleh menjadi titik kelemahan kepada prestasi eksport negara,” katanya.

 

Dalam masa sama, eksport berkaitan komoditi turut dijangka memberi sokongan jangka pendek disebabkan harga petroleum yang lebih tinggi serta permintaan luaran yang bertambah baik.

 

Bagaimanapun, prestasi keseluruhan segmen komoditi masih bercampur-campur apabila eksport LNG dan minyak sawit terus menunjukkan kelemahan secara kumulatif.

 

CGSI berkata, keadaan itu menunjukkan pertumbuhan volum asas masih belum cukup kukuh untuk menyokong momentum eksport komoditi secara menyeluruh.

 

“Oleh itu, sumbangan sektor komoditi dijangka mula sederhana memasuki 2H26F sekiranya permintaan global melemah atau kesan kenaikan harga mula berkurangan,” katanya.

 

Tambahnya, risiko penurunan kekal wujud memandangkan harga komoditi yang tinggi bukan sahaja memberi kesan kepada perdagangan global, malah boleh menekan aktiviti pembuatan dunia.

 

Selain itu, kelembapan penggunaan domestik China dan momentum eksport negara itu yang semakin lemah turut menimbulkan kebimbangan terhadap permintaan bagi barangan perantaraan serta aliran perdagangan serantau.

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu berpandangan gangguan rantaian bekalan global, peningkatan kos logistik dan keadaan permintaan dunia yang masih rapuh boleh memberi tekanan kepada prestasi eksport Malaysia pada separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com