KUALA LUMPUR 21 April — Prospek eksport Malaysia dijangka merosot kepada kadar pertumbuhan lebih sederhana sebanyak 4.5% pada 2026 berbanding 6.5% yang pernah dicatatkan sepanjang tahun lalu.
Menurut MBSB Research, situasi berkenaan disebabkan ketidaktentuan geopolitik global yang semakin memuncak, terutamanya ketegangan di rantau Timur Tengah dan tarif baharu Amerika Syarikat (AS).
Firma penyelidikan itu menambah, risiko tersebut diburukkan lagi dengan potensi langkah balas perdagangan yang dijangka memberi tekanan tinggi kepada prestasi eksport negara pada tahun ini.
“Walaupun asas perdagangan Malaysia masih kukuh, persekitaran luaran yang tidak menentu boleh menjejaskan momentum, khususnya dalam sektor berorientasikan eksport,” katanya dalam satu nota.
Bagi Mac 2026 jelas MBSB Research, eksport negara ini terus kekal berkembang bagi bulan kesembilan berturut-turut, namun pada kadar yang lebih sederhana iaitu sebanyak 8.3% tahun ke tahun (YoY).
Angka tersebut ujarnya, susut sedikit berbanding kira-kira 10.7% pada Februari 2026, dengan jumlah perdagangan naik 9.3%, sedikit perlahan berbanding bulan sebelumnya, dan import melonjak 10.4%.
Prestasi eksport terus disokong sektor pembuatan yang berkembang 9.6%, didorong pemulihan produk petroleum (+23.7%) serta pertumbuhan berterusan barangan elektrik dan elektronik (E&E) (+28.5%).

"Bagaimanapun, sektor perlombongan mencatat penyusutan sebanyak 0.4%, manakala eksport pertanian masih menguncup 7.8%, walaupun pada kadar lebih perlahan berbanding Februari," kata MBSB Research.
Dari segi destinasi pula tambah firma penyelidikan berkenaan, eksport ke pasaran AS kekal mencatat pertumbuhan dua digit pada 18.3%, tetapi lebih perlahan berbanding 42.3% dicatatkan sebelumnya.
Eksport ke China ujarnya, turut menyaksikan prestasi yang sederhana kepada hanya 7.0%, manakala penghantaran ke Singapura adalah kekal negatif walaupun sudah menunjukkan tanda-tanda pemulihan.
Dalam kalangan negara serantau jelas MBSB Research, eksport ke ASEAN bulan itu kembali berkembang iaitu 2.0% selepas susut pada Februari 2026, dipacu permintaan kukuh dari Thailand dan Vietnam.
"Sebaliknya, eksport ke Kesatuan Eropah (EU) kembali menguncup 4.1%, dan secara bulanan (MoM), eksport Malaysia pada keseluruhan naik sebanyak 13.6% manakala import meningkat 8.7%," tambahnya.
Keadaan ini memperluas lebihan dagangan kepada RM24.5 bilion, dengan firma itu turut menjangkakan import mampu berkembang 5.0% pada 2026, disokong oleh peningkatan aktiviti ekonomi domestik.
Dalam pada itu, MBSB Research melihat potensi peningkatan jangka pendek didorong aktiviti ‘front-loading’ penghantaran E&E menjelang pelaksanaan tarif baharu AS ke atas produk semikonduktor.
Permintaan global terhadap teknologi masih menjadi pemacu, namun risiko seperti gangguan rantaian bekalan dan ketegangan geopolitik kekal sebagai cabaran utama kepada Malaysia. - DagangNews.com








