Eksport kayu diunjur ada kelebihan berikutan tarif AS lebih tinggi ke atas pesaing - FRIM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport kayu diunjur ada kelebihan berikutan tarif AS lebih tinggi ke atas pesaing - FRIM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Jun — Eksport kayu Malaysia diunjur menerima kelebihan daya saing dalam pasaran Amerika Syarikat (AS) berikutan tarif lebih tinggi dikenakan ke atas negara pesaing serantau.


Pengarah Bahagian Hasil Hutan, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Wan Tarmeze Wan Ariffin berkata, Vietnam dan Indonesia antara yang dikenal bakal terjejas disebabkan isu tersebut.


Beliau memberi contoh Vietnam, yang pernah menjadi pengeksport perabot terkemuka di Asia Tenggara, dijangka berdepan tarif mencecah 46 peratus berbanding Malaysia pula hanya sebanyak 24 peratus.


"Presiden Donald Trump mengenakan tarif lebih tinggi itu mungkin kerana takut China mempergunakan Vietnam sebagai hab pembuatan produk untuk memintas sekatan perdagangan AS sendiri," katanya.


Setakat ini tambah beliau, AS merupakan pembeli perabot Malaysia yang paling besar daripada negara-negara lain dengan menyumbang lebih separuh eksport produk berkenaan ke seluruh dunia.


Pada 2022, Malaysia mengeksport kayu dan produk kayu dengan nilai yang mencecah RM7.73 bilion ke pasaran AS sekali gus mencatatkan peningkatan begitu stabil berbanding RM3.76 bilion pada 2018.


Bagaimanapun, tarif yang diumumkan pada 2 April 2025 telah ditunda selama 90 hari sehingga awal Julai 2025 untuk membolehkan rakan dagangan AS dapat berunding bagi semakan tarif lebih rendah.


"Jika mereka tidak mengenakan tarif tinggi ke atas Vietnam, China boleh mengeksploitasi laluan itu. Jadi, di atas kertas, kelebihan sebenarnya terletak pada kita [Malaysia]," kata Wan Tarmeze.


Tambah beliau, eksport kayu Malaysia di seluruh dunia selama ini meliputi pelbagai jenis termasuk perabot, kayu balak, venir, papan lapis dan papan gentian yang berketumpatan sederhana.


Ditanya mengenai cabaran yang kelazimannya dihadapi oleh pemain industri perkayuan, beliau berkata sektor perabot Malaysia kebanyakannya bergantung kepada kayu diproses berbanding kayu pepejal.


Perkembangan tersebut kata beliau, menyaksikan bahan berasaskan kayu yang dijual ke pasaran dalam dan luar negara menyumbang sehingga 85 peratus daripada input untuk pembuatan perabot berkenaan.


Wan Tarmeze menambah, konflik ketenteraan antara Iran-Israel yang berlaku secara berterusan sejak 13 Jun 2025 pula tidak dijangka memberi banyak kesan buruk langsung kepada eksport kayu Malaysia.


Bagaimanapun beliau menjangkakan, pembinaan semula negara terbabit selepas konflik berakhir boleh membuka peluang pasaran baharu dan meningkatkan permintaan yang lebih luas untuk kayu Malaysia.


"Peperangan sering membawa kepada kemusnahan yang besar, tetapi apabila keadaan stabil, biasanya ada lonjakan permintaan untuk pembinaan semula termasuk rumah dan infrastruktur," katanya. - DagangNews.com