Eksport, import masih boleh berkembang meskipun ketidaktentuan global - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport, import masih boleh berkembang meskipun ketidaktentuan global - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Mac - Eksport diramalkan masih boleh kekal berkembang sebanyak 3.9 peratus manakala import pula dijangka meningkat 4.1 peratus dengan lebihan dagangan dianggarkan mencecah RM130.9 billion, menurut TA Securities.
 

Firma penyelidikan itu berkata, bagaimanapun jika dilihat prospek hadapan, ia mengakui ada beberapa risiko yang mungkin boleh mencabar pandangan tersebut.



Kebimbangan utama katanya, termasuk ketegangan geopolitik yang semakin meningkat, trend permintaan yang lemah daripada rakan dagangan utama, dan kelembapan berpanjangan dalam aktiviti pengeluaran global.


"Ramalan ini mencadangkan prestasi perdagangan yang stabil, walaupun sedikit sederhana dan mencerminkan landskap ekonomi global yang berkembang," katanya dalam satu nota kajian.


Tambah firma penyelidikan itu menambah, ia berbeza dengan 2024 yang menyaksikan aktiviti perdagangan lebih kukuh apabila eksport dan import masing-masing meningkat 5.7 peratus dan 13.2 peratus, tahun ke tahun (y-o-y).


Bagaimanapun kata TA Securities, lebihan dagangan pula merosot dengan ketara sebanyak 36.4 peratus, menunjukkan kesan pertumbuhan import yang lebih tinggi.


Memandangkan persekitaran permintaan luar yang masih tidak menentu, untuk Malaysia mengulangi pencapaian lebihan dagangan yang dicatatkan pada suku keempat 2024, iaitu RM46.05 bilion, nampak mencabar.


"Sekiranya permintaan luar kekal lembap, ia boleh bertindak sebagai penghalang kepada momentum ekonomi keseluruhan," kata firma penyelidikan itu.


Justeru ia menjangkakan penyederhanaan pada suku pertama 2025 dan mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama sebanyak 4.8 peratus y-o-y.


Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata prestasi dagangan Malaysia bagi Februari 2025 meningkat 5.9 peratus y-o-y kepada RM223.89 bilion tetapi pada asas bulan ke bulan, ia jatuh 7.5 peratus berbanding RM241.97 bilion pada Januari.


TA Securities berkata, meskipun momentum positif untuk Februari, penurunan dalam angka bulanan mencerminkan faktor bermusim dan potensi perubahan dalam permintaan luar.


Menurut firma penyelidikan itu, jumlah eksport meningkat sebanyak 6.2 peratus kepada RM118.26 bilion, melantun semula daripada kenaikan marginal 0.3 peratus yang dicatatkan pada Januari 2025.


Bagaimanapun, pada asas bulanan, eksport merosot 7.9 peratus disebabkan oleh permintaan yang lebih rendah semasa tempoh perayaan Tahun Baharu Cina dan hari bekerja yang lebih sedikit.


"Secara sejarah, dari 2015 hingga 2024, Februari telah merekodkan penurunan purata bulan ke bulan sebanyak 9 peratus, menunjukkan bahawa penurunan tahun ini kekal dalam julat biasa pelarasan bermusim," kata TA Securities.


Bagi destinasi pula, eksport ke ASEAN meningkat 8.3 peratus kepada RM34.62 bilion, terutamanya disebabkan oleh eksport kukuh produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera, peralatan dan alat ganti serta gas asli cecair (LNG).


Eksport ke pasaran utama di ASEAN yang mencatatkan peningkatan ialah Singapura, yang meningkat sebanyak 17.2 peratus serta Thailand, yang berkembang 14.7 peratus y-o-y, didorong oleh eksport kukuh produk E&E.


“Selain itu, eksport ke Indonesia lebih tinggi sebanyak 8.5%, disebabkan oleh eksport produk petroleum yang kukuh,” kata TA Securities.


Bagi Amerika Syarikat, eksport tempatan menyumbang 14.8 peratus daripada jumlah eksport, meningkat sebanyak 28.9 peratus y-o-y.


Firma penyelidikan itu berkata lonjakan itu disebabkan oleh permintaan yang berterusan untuk produk E&E, minyak sawit dan barangan pertanian berasaskan minyak sawit, serta makanan yang diproses.


Eksport ke Kesatuan Eropah (EU) juga meningkat 7.7 peratus daripada pertambahan permintaan untuk produk E&E serta produk perkilangan berasaskan minyak sawit.


Bagaimanapun, eksport ke China mencatatkan penurunan sebanyak 8.1 peratus disebabkan oleh penurunan eksport LNG, perkilangan logam serta kondensat petroleum dan minyak petroleum lain.


Jumlah import meningkat pada kadar yang lebih sederhana sebanyak 5.5 peratus berikutan permintaan yang lebih lemah untuk penggunaan dan barangan perantaraan – mencerminkan perbelanjaan berhati-hati dan potensi pelarasan dalam aktiviti perindustrian.



Oleh itu, imbangan dagangan melebar kepada lebihan RM12.62 bilion, menandakan peningkatan 12.2 peratus y-o-y dan lonjakan 244.8 peratus yang luar biasa daripada RM3.6 bilion yang dicatatkan pada Januari 2025,” kata TA Securities. - DagangNews.com