KUALA LUMPUR 29 Dis — Ekovest Berhad mengesahkan syarikat itu dan Tan Sri Lim Kang Hoo bersetuju secara bersama menyambung tempoh berkaitan cadangan pengambilalihan Credence Resources Sdn Bhd.
Langkah lanjutan berkenaan jelas kumpulan tersebut membolehkan tambahan waktu perjanjian prinsip awal yang dalam proses rundingan asas sebelum dimuktamadkan secara rasmi oleh kedua-dua pihak terbabit.
Jelasnya lagi, pemyambungan tempoh tersebut adalah dari 27 Disember 2025 hingga 26 Januari 2026, bagi memberi masa kepada syarikat berkenaan untuk mempertimbangkan cadangan yang dikemukakan itu.
"Lanjutan ini turut membolehkan kedua-dua pihak dapat meneruskan perbincangan, rundingan dan memuktamadkan terma Perjanjian Muktamad," kata Ekovest dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia.
Tambahnya, perjanjian awal berkenaan adalah bersifat mengikat dan bertujuan meneroka serta merundingkan cadangan pengambilalihan tersebut, seperti yang pernah diumumkannya sebelum ini.
Ekovest berkata, melainkan dinyatakan sebaliknya, semua terma yang digunakan membawa maksud sama seperti yang dinyatakan dalam pengumuman terdahulu berkaitan cadangan pengambilalihan tersebut.
Credence yang ditubuhkan pada 11 April 2000 dan beroperasi di Johor Bahru, Johor, terlibat dalam pengurusan syarikat serta entiti perniagaan korporat termasuk pemegang pegangan pelaburan.
Ia memiliki kepentingan dalam beberapa syarikat seperti Iskandar Waterfront Holdings Sdn Bhd, yang terlibat dalam pembangunan hartanah melalui pegangan ekuiti dalam Iskandar Waterfront City Berhad.
Sementara itu pula, Kang Hoo merupakan Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Bukan Bebas Eksekutif dalam Ekovest serta turut berada dalam senarai lembaga pengarah kumpulan berkenaan sejak 1988.
Beliau juga merupakan pemegang saham terbesar syarikat serta disifatkan banyak memainkan peranan penting dalam merangka strategi, pembangunan dan arah tuju kumpulan tersebut. - DagangNews.com








