KUALA LUMPUR 24 Mac - Pertumbuhan ekonomi negara ini diunjurkan masih lagi mampu berkembang baik antara 4.5 peratus hingga 5.5 peratus pada tahun 2025, menurut kenyataan Bank Negara Malaysia (BNM) yang sekali gus mengulangi prestasi kukuh sebanyak 5.1 peratus direkodkan pada 2024.
Pertumbuhan tersebut kata bank pusat berkenaan, akan didorong oleh permintaan dalam negeri yang berterusan, meskipun terdapat juga faktor ketidakpastian luaran yang semakin ketara dan boleh menyebabkan prospek perkembangan eksport Malaysia ke seluruh dunia yang lebih sederhana.
Untuk situasi 2025, BNM turut menjangkakan kadar inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing secara berpurata boleh berlegar antara dua peratus hingga 3.5 peratus dan 1.5 peratus hingga 2.5 peratus, berbanding sebanyak 1.8 peratus yang dicatatkan pada tahun lepas.
"Inflasi pula dijangka menunjukkan trend menaik sepanjang tahu ini namun akan kekal terkawal berikutan faktor keadaan kos global yang semakin reda dan ketiadaan tekanan permintaan yang berlaku secara berlebihan," kata bank tersebut dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ia dikeluarkan bersempena dengan penerbitan tiga naskhah utamanya iaitu Laporan Tahunan 2024 (LT 2024), Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2024 (TEM 2024) serta Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2024 (TKK ST2 2024) yang memperincikan aktiviti BNM pada tahun lepas.
Dokumen itu yang boleh dibaca menerusi pautan bnm.gov.my/AR2024 turut ada penilaian bagi tahun 2025 termasuk risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan, jaminan akses berterusan untuk perlindungan insurans/takaful perubatan dan kesihatan serta masa depan aset digital.
Menjelaskan lebih lanjut, BNM berkata, keadaan monetari dan kewangan domestik akan terus menyokong keperluan pembiayaan dalam keadaan ekonomi berkembang dengan mampan serta permintaan kredit akan didorong oleh prospek pertumbuhan dalam negeri dan pendapatan yang positif.
"Walaupun terdapat potensi risiko berikutan pelbagai perkembangan luaran, pasaran kewangan Malaysia dijangka terus berdaya tahan dan berada pada kedudukan yang kukuh untuk mengekalkan keadaan pasaran yang masih lagi bergerak teratur," kata kenyataan bank pusat berkenaan.
Sementara itu, Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour dalam kenyataan tersebut berkata, walaupun ketidakpastian masih wujud pada peringkat global, BNM akan terus berusaha melaksanakan mandatnya dengan penuh dedikasi dan mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat.
Kepelbagaian struktur ekonomi negara dan dasar yang luas kata beliau, menyediakan daya tahan dan ketangkasan untuk mengharungi rintangan ini serta yakin ekonomi Malaysia akan kekal pada landasan pertumbuhan stabil dengan tekanan inflasi kekal terkawal secara keseluruhan.
Dengan jangkaan keadaan dalam negeri yang menggalakkan, Malaysia kata Abdul Raseheed, harus meneruskan banyak lagi usaha untuk proses pembaharuan struktur yang penting demi memastikan segala aspek pertumbuhan negara ini yang tetap mampan bagi tahun-tahun akan datang.
"Seperti yang diaudit dan diperakui oleh Ketua Audit Negara, kedudukan kewangan BNM kekal kukuh pada 2024. Aset BNM berjumlah RM621.54 bilion pada 31 Disember 2024. Keuntungan bersih selepas cukai sebanyak RM13.16 bilion dicatatkan bagi tahun kewangan 2024," kata beliau.
Sejumlah RM7.91 bilion lagi telah dipindahkan ke dalam Rizab Risiko BNM dan bank pusat tersebut telah mengisytiharkan dividen sebanyak RM5.25 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan 2024. - DagangNews.com








