Ekonomi ASEAN termasuk Malaysia terima manfaat kepelbagaian rantaian bekalan China, kata Moody's | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ekonomi ASEAN termasuk Malaysia terima manfaat kepelbagaian rantaian bekalan China, kata Moody's

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 Mac — Ekonomi ASEAN, terutama Malaysia dan Vietnam serta India, mendapat banyak manfaat daripada kepelbagaian rantaian bekalan China, khususnya dalam tekstil dan elektronik, menurut Moody's Ratings.
 

Firma penarafan kredit global itu berkata, pergerakan rantaian bekalan dari China ke pasaran jiran alternatif setakat ini terhad walaupun terdapat ketegangan perdagangan Amerika Syarikat (AS) dengan China.
 

Penguasaan rantaian nilai China katanya, menyukarkan pengeluar mengurangkan pergantungan kepada input China, walaupun syarikat multinasional semakin maju dalam mengalihkan pengeluaran lebih dekat kepada pembekal.
 

"Bagaimanapun, keuntungan perdagangan dan pelaburan tidak sekata dengan import dari ASEAN dan India kekal rendah, membentuk sekitar 9.0 peratus dan 3.0 peratus daripada jumlah import AS pada 2024," katanya dalam satu kenyataan.
 

Sementara itu jelas Moody's, China mengubah hala eksportnya ke pasaran ASEAN, Rusia dan negara-negara anggota Kesatuan Eropah (EU).
 

Aliran pelaburan asing kata firma tersebut, mencerminkan peralihan itu, dengan Malaysia dan Vietnam muncul sebagai destinasi utama untuk pelaburan medan hijau apabila bahagian China merosot.
 

Ia juga mengatakan bahawa pada Oktober 2024, AS mengumumkan duti timbal balas awal ke atas sel solar diimport dari Kemboja, Malaysia, Thailand dan Vietnam, yang disasar terutamanya kepada syarikat milik China yang beroperasi di Asia Tenggara dan dipercayai menerima subsidi yang tidak adil.
 

Moody's berkata pergantungan yang semakin meningkat kepada China menunjukkan kesan tidak langsung tarif ke atas ASEAN yang boleh menjadi ketara.
 

“Ini akan memberi kesan ekonomi negatif, terutamanya bagi ekonomi yang bergantung kepada permintaan China, seperti Vietnam, Thailand dan Malaysia," kata firma berkenaan.
 

Penurunan dalam permintaan eksport menimbulkan risiko kepada ekonomi yang berusaha untuk mencontohi model pertumbuhan yang diterajui eksport China, kerana bersaing dalam persekitaran perdagangan yang semakin 'campur tangan' menjadi sukar.
 

Moody's menyatakan bahawa ASEAN dan India perlu membangunkan kapasiti nilai tambah tersendiri yang lebih besar untuk meningkatkan daya saing.

Ketiadaan rantaian bekalan domestik yang lebih kukuh dan penambahbaikan dalam dasar perdagangan kekal sebagai cabaran utama yang menghalang pembangunan lebih pantas hab pembuatan baharu, kata agensi itu.
 

Ia berkata usaha meningkatkan daya tarikan pelaburan memerlukan penambahbaikan dalam infrastruktur, ketersambungan, serta liberalisasi dasar pelaburan dan perdagangan untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI).
 

Kerajaan serantau kata Moody's, telah melaksanakan dasar strategik, termasuk memanfaatkan Industri 4.0, penambahbaikan infrastruktur dan dasar proaktif untuk menarik banyak FDI. - DagangNews.com