KUALA LUMPUR 3 April – Pemegang saham UEM Edgenta Berhad memberi ‘lampu hijau’ kepada cadangan pengambilalihan sepenuhnya oleh UEM Group Berhad, yang melibatkan pembayaran tunai berjumlah RM282 juta untuk baki 257 juta saham.
Keputusan itu adalah satu langkah besar ke arah penswastaan dan penyahsenaraian syarikat daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Kelulusan cadangan pengurangan modal terpilih dan pembayaran balik (SCR) yang dikemukakan oleh UEM Group itu diperoleh menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang diadakan pada 2 April 2026 dengan resolusi khas berkenaan diundi selaras dengan keperluan Bursa Malaysia.
Dalam undian tersebut, hampir keseluruhan pemegang saham tidak berkepentingan iaitu 97.09% menyokong cadangan pengambilalihan, manakala hanya 1.33% membantah, jauh di bawah had maksimum 10% yang diperlukan untuk kelulusan resolusi.
Perkembangan itu membolehkan UEM Group Berhad meneruskan rancangan untuk meningkatkan pegangan ekuitinya dalam UEM Edgenta Berhad daripada 69.14% kepada 100%.
Bagi tujuan tersebut, UEM Group akan mengambil alih baki 30.86% kepentingan atau kira-kira 257 juta saham dengan menawarkan bayaran tunai sebanyak RM1.10 bagi setiap saham biasa.
Secara keseluruhan, langkah pengambilalihan itu melibatkan nilai pembayaran tunai berjumlah sekitar RM282 juta kepada pemegang saham minoriti.
Susulan pelaksanaan cadangan SCR itu, UEM Edgenta dijangka menjadi anak syarikat milik penuh UEM Group, sekali gus membuka laluan kepada penyahsenaraiannya daripada Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Bagaimanapun, cadangan tersebut masih tertakluk kepada kelulusan Mahkamah Tinggi Malaya serta pemfailan perintah berkaitan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum ia boleh dikuatkuasakan sepenuhnya.
Sekiranya semua kelulusan diperoleh mengikut jadual, proses penyahsenaraian UEM Edgenta dijangka dimuktamadkan menjelang awal Julai 2026.
Langkah penswastaan ini dilihat akan membolehkan UEM Group menyusun semula hala tuju strategik UEM Edgenta, termasuk melaksanakan inisiatif bagi memperkukuh prestasi kewangan dan meningkatkan keupayaan syarikat dalam menghadapi persekitaran pasaran yang mencabar. - DagangNews.com








