KUALA LUMPUR 20 Ogos – EG Industries Berhad muncul sebagai antara pilihan saham kos rendah dalam sektor perkhidmatan pembuatan elektronik (EMS) dengan prospek pertumbuhan kukuh, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, prospek positif berkenaan disokong lonjakan permintaan untuk pelbagai modul kecerdasan buatan (AI) yang bertenaga tinggi dan infrastruktur pusat data (DC).
Ia menetapkan nilai saksama saham kumpulan itu antara RM1.41 hingga RM2.09, bersandarkan 18 kali ganda unjuran pendapatan tahun kewangan 2026, berbanding dagangan semasa hanya 9.6 kali perolehan.
"Nilai ini antara terendah dalam kalangan rakan setara tersenarai sektor EMS, walaupun EG Industries ialah pengeluar pertama di Asia Tenggara bagi beberapa modul," kata RHB Research dalam notanya.
Antaranya tambah firma berkenaan, kumpulan tersebut mengeluarkan modul optikal 800G dan 1.6T berkuasa tinggi, iaitu komponen yang penting dalam rantaian nilai AI dan pembangunan bagi pusat data moden.
Katanya, melalui kerjasama strategik selama enam tahun bersama Cambridge Industries Group (CIG), EG Industries telah dilantik sebagai pengeluar eksklusif global bagi modul 100G-800G pada Oktober 2022.
Ini disusuli pula modul 1.6T pada April 2024 dan syarikat ini dijangka menghasilkan 50% daripada output global CIG bagi modul-modul ini, dengan permintaan 800G dijangka meningkat empat kali ganda.
"Modul 1.6T bakal berkembang dua kali ganda menjelang 2026, didorong oleh permintaan pelanggan utama seperti Nvidia, Google, dan banyak syarikat bersakla hier yang lain," tambah RHB Research lagi.
Sejak 2022 katanya, EG Industries telah mengalami anjakan struktur dalam aliran pendapatan, dengan peralihan daripada hanya produk pengguna konvensional kepada komponen dan modul bermargin tinggi.
Tambah firma itu, sepanjang sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, sumbangan produk pengguna menurun kepada 52% daripada 92% pada FY22, menandakan kemajuan besar dalam transformasi strategik.
Lonjakan pertumbuhan ini dipacu pengeluaran suis rangkaian untuk sebuah syarikat telekomunikasi China ternama sejak FY24, selari dengan trend global memindahkan pengeluaran keluar dari China.
"Sumbangan besar pelanggan daripada negara berkenaan dijangka meningkat dengan pesat dan menambah pendedahan EG Industries kepada pertumbuhan AI termaju dalam pasaran global," kata RHB Research.
Untuk menyokong trajektori pertumbuhan yang pesat, kumpulan itu memperluaskan operasinya menerusi kilang pintar di Batu Kawan, Pulau Pinang yang ditumpukan kepada pengeluaran modul tertentu.
Ia termasuk fotonik AI dan peralatan rangkaian dengan fasiliti ini dilengkapi barisan pemasangan berkelajuan tinggi, bilik bersih 1K hingga 10K, serta automasi canggih dalam ujian dan pembungkusan.
EG Industries katan firma itu juga berjaya memperoleh pelanggan langsung yang pertama dari Amerika Syarikat (AS), dengan hanya mahu dikenali sebagai Customer G, untuk sistem penyimpanan tenaga.
"Pelanggan ini akan menerima ruang pengeluaran khusus di Batu Kawan, malah, beberapa bakal pelanggan lain kini menjalani proses audit, memberikan unjuran kapasiti guna yang tinggi," tambahnya.
RHB Research menjangka pertumbuhan pendapatan yang mampan pada masa hadapan tetapi walaupun prospek jangka panjang kekal positif, risiko utama termasuklah antaranya ketidaktentuan tarif perdagangan.
Kelemahan lain yang perlu diteliti EG Industries ialah jika berlaku penyusutan permintaan DC global, kehilangan pelanggan utama, serta turun naik kadar tukaran mata wang asing. - DagangNews.com








