EG Industries tambah pegangan dalam ND Rubber dari Thailand kepada 41.59% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EG Industries tambah pegangan dalam ND Rubber dari Thailand kepada 41.59%

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 6 April – EG Industries Berhad meningkatkan pegangannya dalam ND Rubber Public Company Limited (NDR) kepada 41.59% selepas memperoleh tambahan 17.51% kepentingan ekuiti.

 

NDR yang tersenarai di Bursa Saham Thailand terlibat dalam pembuatan dan pengedaran komponen getah bagi industri automotif dan elektronik, selain menghasilkan tayar motosikal, tiub dalam serta komponen berkaitan untuk pasaran domestik dan antarabangsa.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, EG Industries berkata pengambilalihan itu melibatkan nilai pertimbangan sebanyak THB120 juta (kira-kira RM15.6 juta) yang dibiayai sepenuhnya melalui dana dalaman kumpulan.

 

Langkah terbaharu itu menyusuli pelaburan awal EG Industries pada 2024 apabila syarikat tersebut memperoleh 24.08% pegangan dalam NDR bernilai THB198 juta (sekitar RM26.05 juta).

 

Dengan peningkatan pegangan tersebut, EG Industries kini mengukuhkan kedudukannya dalam segmen berkaitan tenaga, penjanaan tenaga serta komponen kenderaan elektrik (EV), selaras dengan strategi jangka panjang kumpulan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, NDR mencatatkan hasil sebanyak THB937 juta dan keuntungan bersih THB21 juta, menunjukkan pemulihan prestasi serta trajektori pertumbuhan yang lebih kukuh.

 

EG Industries berkata, pelaburan itu turut membuka peluang untuk menubuhkan pusat ujian komponen 5G di Thailand melalui anak syarikat NDR, Xtronic Co., Ltd dengan kerjasama SMT Industries Co., Ltd.

 

Selain itu, kedudukan NDR sebagai pembekal dalam senarai vendor diluluskan kepada pengeluar automotif dan EV memberi akses langsung kepada EG Industries ke dalam rantaian bekalan global sektor berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alex Kang berkata, langkah itu selari dengan fokus awal kumpulan terhadap sektor tenaga dan EV sejak 2024, khususnya dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik serta perubahan struktur industri global.

 

Menurut beliau, keupayaan NDR dalam peranti tenaga dan komponen berkaitan EV melengkapi kekuatan teras pembuatan EG Industries, sekali gus membolehkan kumpulan berkembang ke segmen bernilai lebih tinggi.

 

Dalam pada itu, EG Industries kekal optimis terhadap prospek pertumbuhannya, disokong oleh peluang dalam sektor tenaga, EV dan pembuatan elektronik maju, selain komited memperkukuh keupayaan teknologi serta kerjasama strategik bagi memanfaatkan peralihan global ke arah elektrifikasi dan tenaga mampan. - DagangNews.com