KUALA LUMPUR 3 Nov – Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) hari ini mengumumkan pelantikan Edward Ling sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan yang baharu berkuat kuasa 4 November ini.
TalentCorp dalam kenyataan hari ini berkata, Ling menggantikan Thomas Mathew yang telah menamatkan tempoh perkhidmatan selama lima tahun, hari ini.
Thomas telah memegang jawatan tersebut sejak tahun 2020.
“Edward Ling membawa lebih dua dekad pengalaman dalam bidang transformasi perniagaan, inovasi digital dan kerjasama strategik bersama syarikat multinasional (MNC),” katanya.
TalentCorp berkata, Ling diiktiraf sebagai pemimpin yang berjaya menghubungkan kepakaran korporat dengan agenda pembangunan negara menerusi pelbagai inisiatif yang meningkatkan sinergi rentas sektor, kesiapsiagaan digital dan daya saing tenaga kerja.
“Sebagai peneraju baharu, beliau akan bertanggungjawab memacu agenda transformasi bakat negara melalui kerjasama erat antara industri, kerajaan dan rakan strategik antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.
Menurut TalentCorp, Ling pernah memegang pelbagai jawatan kepimpinan di beberapa syarikat global termasuk LinkedIn, Google, Waze dan L’Oréal Malaysia.
Dari segi akademik, beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengkomputeran dari Monash University, Melbourne, Australia.
Sementara itu, Pengerusi TalentCorp merangkap Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi berkata, Thomas Mathew telah memainkan peranan penting dalam mentransformasikan organisasi tersebut.
“Beliau telah menjadikan TalentCorp sebuah agensi yang berwawasan, berasaskan data dan mampan dari segi kewangan, sekali gus berperanan penting dalam merangka strategi tenaga kerja negara,” katanya.
“Bagi pihak lembaga pengarah, saya mengucapkan terima kasih kepada Thomas atas komitmen dan khidmat baktinya,” tambahnya.
Edward membawa lebih dua dekad pengalaman dalam transformasi perniagaan, inovasi digital dan kerjasama strategik bersama syarikat multinasional termasuk LinkedIn, Waze, Google dan L’Oréal Malaysia.
Beliau sebelum ini turut memegang peranan penting di Doctor Anywhere, Yinson Capital dan Fujitsu Malaysia, di mana beliau mengetuai inisiatif bagi memperkukuh keupayaan digital, pembangunan ekosistem serta daya saing tenaga kerja negara. - DagangNews.com








