Edelteq, KMP bentuk usaha sama bangunkan sistem pemeriksaan optikal automatik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Edelteq, KMP bentuk usaha sama bangunkan sistem pemeriksaan optikal automatik

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 SeptEdelteq Holdings Berhad membentuk usaha sama secara strategik bersama Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd (KMP) membangunkan sistem pemeriksaan optikal automatik.


Menurut syarikat berpusat di Pulau Pinang itu, KMP merupakan syarikat modal teroka milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) serta di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). 


Syarikat penyedia peralatan pemeriksaan cip dan sistem automasi itu berkata, KMP akan melabur sehingga RM3.2 juta dalam usaha sama terbaharu yang dimeterai oleh kedua-dua pihak berkenaan.


"Dana ini mempercepatkan pembangunan sistem tersebut yang akan digunakan untuk menilai panel substrat serta melakukan imbasan aras air, selain memenuhi keperluan modal kerja," kata Edelteq.


Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Edelteq, Chin Yong Keong menerusi satu kenyataan berkata, kerjasama ini mencerminkan keyakinan kukuh terhadap teknologi dan wawasan Halovision.


Katanya, rakan strategik Edelteq dalam usaha sama ini ialah Halo Technologies Sdn Bhd, syarikat teknologi Malaysia yang memfokus kepada pemeriksaan optikal lanjutan untuk industri semikonduktor.


Kedua-dua syarikat memeterai memorandum persefahaman pada 19 Januari 2024 dengan produk utama di bawah jenama Halovision, dengan menggunakan kepakaran rumusan berasaskan kepintaran buatan (AI).


Meskipun butiran pemilikan saham usaha sama dengan KMP tidak dinyatakan, makluman kepada Bursa Malaysia pada 3 Jun 2025 menunjukkan Edelteq dijangka memiliki ekuiti 50% dalam entiti baharu itu.


Edelteq terlibat dalam penyediaan sistem pembungkusan litar bersepadu semikonduktor, peralatan pemeriksaan, sistem automasi serta perkhidmatan fabrikasi yang berketepatan tinggi.


Sementara itu, KMP ditubuhkan pada 2001, melabur dalam lebih 40 syarikat teknologi setakat ini, meliputi sektor seperti Internet Benda, bahan termaju, semikonduktor, automasi, teknologi hijau.


Menurut laman web rasminya, aset di bawah pengurusan KMP kini sudah melebihi sebanyak RM380 juta. - DagangNews.com