EcoWorld sasar pendapatan berulang jana 30% untung bersih menjelang FY28, kata CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoWorld sasar pendapatan berulang jana 30% untung bersih menjelang FY28, kata CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 DisEco World Development Group Berhad memperkukuh hala tuju strategik dengan memberi tumpuan agresif terhadap pendapatan secara berulang, menurut CGS International.


Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan tersebut menyasarkan sumbangan 20% hingga 30% kepada keuntungan bersih menjelang FY28, jauh lebih tinggi berbanding kurang 5% sahaja pada ketika ini.


Komitmen berkenaan jelasnya, hadir seiring prestasi kewangan mantap apabila syarikat menutup FY25 dengan keuntungan bersih teras sebanyak RM417.7 juta, paras tertinggi dalam sejarah kumpulan.


"Keuntungan bersih teras EcoWorld pada 4QFY25 meningkat kepada RM124.1 juta, naik 24% suku ke suku (QoQ), dipacu penyatuan penuh projek Eco Grandeur dan EBP 8," tambah CGSI dalam notanya hari ini.


Selain itu kata firma tersebut, pengiktirafan besar jualan tanah pusat data (DC), serta margin lebih baik hasil penjimatan kos projek turut membantu syarikat hartanah berkenaan pada suku itu.


Jumlah dividen pada FY25 yang diumumkan pada 10 Disember 2025 jelasnya, turut didapati meningkat sederhana sebanyak 17% kepada kira-kira 7 sen sesaham, berbanding tahun kewangan sebelumnya.


Di samping itu, CGSI menilai kejayaan EcoWorld mencatat jualan RM4.55 bilion, iaitu 30% mengatasi sasaran dan tertinggi pernah dicapai, disokong jualan tanah DC bernilai sebanyak RM960 juta.


"Bagi unjuran pada FY26 pula, kami menetapkan sasaran kira-kira RM4.0 bilion berikutan banyak lagi pelancaran projek yang baharu termasuk Eco Botanic 3, EBP 7, Eco Radiance dan EBP 8," jelasnya.


Pada masa yang sama kata firma penyelidikan itu, lebih RM1 bilion hasil jualan tanah DC dan perindustrian bakal diiktiraf secara progresif, menjamin keterlihatan pendapatan sepanjang FY26.


Nisbah hutang bersih EcoWorld turut didapati mengecil kepada 0.28 kali, disokong aliran tunai projek dan terbitan sukuk berkekalan RM800 juta, sekali gus mengukuhkan keupayaan kumpulan.


Ini membolehkan syarikat tersebut dapat meneruskan pembelian tanah strategik, serta mempercepatkan pengembangan portfolio pendapatan secara berulang sebagai pemacu pertumbuhan jangka panjang.


"Kami mengekalkan saranan 'tambah', dengan harga sasaran baharu RM2.62, berdasarkan diskaun 40% selepas pelarasan kecil terhadap unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY26 hingga FY27," kata CGSI.


Ia menilai pemangkin utama penarafan lebih tinggi termasuk jualan hartanah melebihi jangkaan, dan tambahan hasil tanah industri, namun risiko utama ialah kelewatan pelancaran projek. - DagangNews.com