EcoWorld perkukuh portfolio industri JS-SEZ melalui kerjasama strategik kedua di Kulai — Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EcoWorld perkukuh portfolio industri JS-SEZ melalui kerjasama strategik kedua di Kulai — Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 NovEco World Development Group Berhad dijangka memperkukuh kedudukan dalam Zon Khas Ekonomi Johor–Singapura (JS-SEZ) selepas melakukan pembelian tanah baharu di Kulai, Johor.


Menurut Maybank Investment Bank, langkah berkenaan disusuli pula menerusi kerjasama strategik yang kedua dengan SD Guthrie Berhad dan Permodalan Darul Ta'zim Sdn Bhd (PDT) bagi memajukan lokasi itu.


Firma itu menilai usaha ini sebagai positif, yang bukan sahaja dapat menambah semula bank tanah industrinya di JS-SEZ, malah mengukuhkan hubungan strategik dengan pemilik tanah terbesar negara.


"Kami mengekalkan saranan 'pegang', namun menaikkan harga sasaran kepada RM2.28 berbanding RM2.23, dipacu Nilai Aset Bersih Diselaraskan (RNAV) bertambah kepada RM3.25 sesaham," katanya dalam nota.


Tindakan pelarasan ke atas saham syarikat itu jelas Maybank IB, dilakukan walaupun unjuran pendapatan pada FY27 disemak turun 2% dengan mengambil kira kos pembiayaan bagi tanah baharu lebih tinggi.


Melalui usaha sama (JV) 65:25:10 antara EcoWorld, SD Guthrie dan PDT, mereka bakal membangunkan Eco Business Park 8 (EBP8), iaitu sebuah taman perindustrian bersepadu dengan hab komersial sokongan.


Artikel berkaitan: SD Guthrie jual tanah JS-SEZ bernilai RM815 juta, jalin kerjasama bangunkan Eco Business Park VIII



Ketiga-tiga pihak itu semalam memeterai perjanjian pembangunan tanah seluas 378.4 hektar bernilai RM814.8 juta, dengan jumlah kos tanah termasuk premium tukar syarat yang dianggarkan RM1 bilion.


"Kami menilai harga tanah RM25 sekaki persegi sebagai munasabah berbanding harga pasaran industri di kawasan berkenaan sekitar RM60, selain faktor tanahnya yang bersaiz lebih besar," kata Maybank IB. 


Kadar tersebut jelas firma penyelidikan itu, bersamaan 27% daripada nilai pembangunan kasar (GDV) projek mencecah RM3.8 bilion, dan penyelesaian pembelian tanah dijangka pada tempoh separuh kedua 2026.


Apa yang penting, ia menandakan hubungan perniagaan kukuh dengan SD Guthrie, yang membuka ruang kerjasama masa depan, di samping penglibatan PDT pula dijangka mempercepat kelulusan pembangunan.


Projek EBP8 dijangka dilancarkan pada 4QFY26 dan mula menyumbang secara bermakna kepada pendapatan EcoWorld sekitar FY28, ditunjangi permintaan kukuh terhadap pembangunan industri di JS-SEZ.


"Rekod prestasinya dalam segmen taman perniagaan juga baik dengan kami terus menilai syarikat ini dengan justifikasi reputasi pengurusan dan rekod kejayaan projek konsisten," jelasnya. - DagangNews.com