KUALA LUMPUR 18 Ogos 2025 – Prospek Eco World Development Group Berhad kekal cerah dengan unjuran hasil mampan serta permintaan kukuh terhadap projek perumahan dan perindustrian, terutama di kawasan Iskandar Malaysia, Johor, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu menyemak semula unjuran sahamnya dengan mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM3.00, memberikan potensi kenaikan sebanyak 41%, dengan jangkaan hasil dividen sekitar 4% bagi tahun kewangan berakhir Oktober 2026 (FY26F).
Katanya, berdasarkan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah turut memaklumkan bahawa permintaan bagi unit kediaman dan perindustrian kekal kukuh, khususnya bagi projek-projek di selatan tanah air.
"Eco Botanic 3 di Iskandar Puteri menerima sambutannya amat menggalakkan dan pembeli sanggup beratur lebih awal daripada tarikh pemilihan unit rasmi iaitu pada 14 hingga 17 Ogos 2025," kata RHB Research dalam notanya..
Pada awalnya, hanya Precinct 1 dibuka untuk pemilihan, namun disebabkan sambutan hangat, Precinct 2 turut dibuka dengan harga bermula RM882,000 seunit untuk rumah teres dua tingkat dengan sebanyak 1,100 nombor giliran diambil berbanding hanya 700 unit disediakan.
Tambah RHB Research, kekuatan ekosistem sedia ada termasuk kehadiran kampus University of Southampton Malaysia dan pasar raya Jaya Grocer, menjadi faktor utama penarik projek ini selain dijangka mendapat limpahan manfaat daripada pembukaan stesen eART Iskandar Puteri tidak lama lagi.
EcoWorld juga katanya, kini dalam fasa persediaan untuk pelancaran Eco Business Park (EBP) VII di kawasan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) di Negeri Sembilan menjelang hujung tahun ini.
"Kumpulan tersebut mendedahkan bahawa pasukan jualan telah menerima pertanyaan awal daripada banyak syarikat multinasional (MNC) dari China, Eropah, Jepun dan Malaysia sendiri," katanya.
Menariknya, projek ini juga dilihat sesuai untuk pembangunan pusat data (DC), dengan rekod pencapaian EcoWorld terdahulu dalam menarik pelabur besar di kesemua EBP, apabila pasaran dijangka memberi reaksi positif apabila pelancaran rasmi dibuat.
RHB Research menambah, dalam tempoh satu hingga dua bulan akan datang, kumpulan ini dijangka menganugerahkan kontrak pembinaan bagi projek pusat data di EBP V kepada kontraktor terpilih.
Sementara itu, kerja-kerja pembinaan dijangka siap pada suku ketiga tahun kalendar 2027, dan pendapatan sewaan dijangka bermula dalam suku keempat FY27 (4QFY27).
"DC ini akan disewakan kepada Pearl Computing Malaysia untuk tempoh 20 tahun, dengan jangkaan sumbangan pendapatan sebelum cukai sehingga RM110 juta setahun kepada EcoWorld berdasarkan pegangan ekuiti 80%," katanya. - DagangNews.com








