KUALA LUMPUR 22 Jun — Peningkatan kos pembinaan dan risiko kelewatan pelancaran projek terus menjadi cabaran utama sektor hartanah, terutamanya ke atas Eco World Development Group Berhad.
CGS International (CGSI) dalam analisisnya namun melihat kumpulan tersebut masih lagi berada di landasan kukuh untuk melepasi sasaran jualan tahun kewangan 2026 (FY26) mencecah RM4 bilion.
Prestasi syarikat berkenaan bagi separuh pertama tahun kewangan berakhir Oktober 2026 (1HFY26) turut adalah selari dengan jangkaannya, disokong pengiktirafan jualan tanah pusat data (DC) yang lebih tinggi.
"Prestasi kukuh EcoWorld itu sebahagian besarnya didorong pengiktirafan pendapatan daripada jualan tanah, walaupun keuntungan suku ke suku (QoQ) pula adalah susut," katanya dalam nota penyelidikan.
Keuntungan bersih teras bagi suku kedua FY26 jelas CGSI, meningkat 13% tahun ke tahun (YoY) kepada RM128.5 juta, menjadikan keuntungan bersih separuh pertama FY26 melonjak 48% kepada RM285.9 juta.
Kumpulan itu turut mengumumkan dividen interim kedua sebanyak dua sen sesaham, dan jumlah dividen bagi 1HFY26 bertambah kepada empat sen sesaham berbanding tiga sen pada tempoh sama tahun lalu.
Menurutnya, EcoWorld merekodkan jualan RM3.28 bilion bagi tujuh bulan pertama FY26, naik 10% berbanding tempoh sama tahun lalu dan mewakili 82% daripada sasaran jualan tahunan RM4 bilion.

"Kami mendapati prestasi jualan positif tersebut disokong oleh projek seperti Eco Business Park VII, Eco Botanic 3 serta jualan tanah DC bernilai RM281 juta di Quantum Edge," tambah CGSI lagi.
Firma itu berkata, syarikat juga ada banyak projek dalam tempoh terdekat termasuk Eco Radiance dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM4.6 billion, dan Eco Business Park VIII bernilai RM3.75 bilion.
Selain itu, terdapat dua projek kediaman baharu EcoWorld menerusi usaha sama (JV) dengan JLG Investment Holdings Sdn Bhd iaitu Versione LIVN di Sydney, Australia dan Versione WKND di Larkin, Johor.
Kedua-dua projek tersebut jelas CGSI, dijangka dapat dilancarkan kumpulan berkenaan menjelang akhir tahun kalendar 2026, namun masih lagi tertakluk kepada penyempurnaan proses pengambilalihan tanah.
"Pihak pengurusan berpandangan peningkatan kos pembinaan masih berada pada tahap yang boleh diurus dan tidak menjangka sebarang kelewatan material dalam pelancaran atau penyerahan projek," katanya.
Malah, EcoWorld sudah menaikkan harga jualan bagi beberapa produk kediaman premium terpilih sebagai mengimbangi tekanan kos di samping memanfaatkan permintaan yang terus kukuh dalam segmen tersebut.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, CGSI mengekalkan saranan 'tambah' terhadap saham kumpulan ini dengan menaikkan harga sasaran (TP) sesaham kepada RM2.63 sesaham daripada RM2.57 sebelum ini.
Unjuran berkenaan jelasnya, disokong prospek pendapatan EcoWorld yang kukuh, potensi penjanaan nilai tanah selanjutnya serta pulangan dividen semakin menarik. - DagangNews.com








