Econpile sedia raih banyak kerja infrastruktur setelah catat pemulihan teguh, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Econpile sedia raih banyak kerja infrastruktur setelah catat pemulihan teguh, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 2 SeptEconpile Holdings Berhad menunjukkan pemulihan yang cukup teguh dalam prestasi kewangan kumpulan tersebut bagi tahun kewangan yang berakhir 30 Jun 2025 (FY25).


Dua firma penyelidikan, CGS International (CGSI) dan RHB Research, masing-masing kekal optimis terhadap prospek syarikat itu, terutama menjelang pelaksanaan projek infrastruktur mega negara.


CGSI mengekalkan saranan 'tambah' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 50 sen daripada 47 sen, mencerminkan pandangan lebih optimis terhadap potensi lonjakan kerja infrastruktur kerajaan.


Econpile katanya, mencatatkan keuntungan bersih RM8 juta bagi 3QFY25, berbanding kerugian RM0.3 juta pada suku sama tahun sebelumnya, manakala untuk FY25, ia melepasi unjuran firma tersebut.


"Walaupun 4QFY25 didapati sedikit terjejas oleh kelewatan projek kerana isu reka bentuk dan pengambilan tanah, margin keuntungan kasar (GPM) masih mencecah 19%," katanya dalam nota kajian.


Kejayaan itu tambah CGSI, didorong pelarasan harga besi yang memberikan penjimatan kos dan ia percaya sasaran kontrak baharu sebanyak RM400 juta bagi FY26 berpotensi dilepasi oleh Econpile.


Nilai kontrak semasa setakat Jun 2025 sudah mencecah RM137 juta, menyumbang kepada buku tempahan berjumlah RM498 juta dan paling penting, ia merujuk pemerolehan projek Sungai Klang Link (SKL).


Kontrak itu disifatkan sebagai pemangkin utama penilaian semula saham, kerana kerja-kerja cerucuk bernilai RM1.4 bilion dijangka mampu diperoleh Econpile jika dimasukkan dalam  Belanjawan 2026.


“Kami kurangkan ramalan perolehan sesaham FY26 dan FY27 bagi mengambil kira kelewatan pemulihan margin, tetapi potensi SKL dan pemulihan perbelanjaan kerajaan menyokong unjuran,” tambahnya.


Sementara itu, RHB Research juga mengekalkan saranan 'beli' dengan menaikkan TP kepada 52 sen berbanding 48 sen sebelum ini, memberikan potensi kenaikan sebanyak 41% daripada paras semasa.


Econpile katanya, mencatat keuntungan bersih RM10 juta untuk FY25, mengatasi unjurannya sebanyak RM3 juta dan konsensus (RM3.5 juta), dengan hasil margin sebenarnya tinggi daripada jangkaan.


Walaupun hasil merosot 32% tahun ke tahun (YoY), keuntungan melonjak ketara daripada kerugian RM21 juta pada FY24, berikutan penamatan projek legasi dan margin kasar bertambah kepada 12%.


"Buku tempahan kerja semasa mencecah RM498 juta. Setakat ini, lima kontrak bernilai RM160.6 juta telah dimenangi pada FY25, dengan tender aktif mencecah RM1 bilion," kata RHB Research.


Firma tersebut turut melihat Econpile sebagai penerima manfaat utama projek mega seperti SKL dan LRT Pulau Pinang, berdasarkan kepada rekod prestasi dalam projek MRT2 dan LRT3 sebelum ini.


Ia turut menaikkan unjuran pendapatan FY26 dan FY27 yang masing-masing sebanyak 14% dan 3%, serta memperkenalkan unjuran FY28 dengan andaian pertambahan kontrak sebanyak RM500 juta.


Bagaimanapun, RHB Research menekankan bahawa paras keuntungan masih belum mencapai kemuncak seperti FY18 (RM87 juta), dan kaedah penilaian kekal berdasarkan P/BV (price-to-book value).


Kedua-dua firma itu bersetuju Econpile berada pada kedudukan strategik meraih manfaat daripada pemulihan projek infrastruktur mega di Malaysia, terutamanya projek SKL yang berpotensi besar.


CGSI lebih fokus prospek jangka sederhana dan panjang melalui potensi SKL serta pemulihan margin, manakala RHB Research memberi penekanan kepada prestasi kewangan semasa melebihi jangkaan.


Kedua-dua firma itu turut memberi amaran mengenai risiko utama yang dikenal pasti termasuk kelewatan pelaksanaan projek mega, serta turun naik harga bahan mentah. - DagangNews.com