KUALA LUMPUR 9 Julai - Econpile Holdings Berhad menerusi Econpile (M) Sdn Bhd menerima kontrak RM27 juta daripada Bayu Melati Sdn Bhd bagi kerja-kerja cerucuk di dua blok apartmen servis setinggi 37 tingkat di Kelana Jaya.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, projek itu dijadualkan siap dalam tempoh 12 bulan bermula 14 Julai 2025.
Katanya, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan pendapatan syarikat mulai tahun kewangan yang berakhir pada 30 Jun 2026 dan seterusnya.
"Tiada risiko ketara yang dijangka selain daripada risiko operasi yang berkaitan dengan projek sepanjang tempoh kontrak.
"Pihak pengurusan akan melaksanakan langkah kawalan dan prosedur operasi bagi mengurangkan impak atau kemungkinan berlakunya kejadian sedemikian," katanya.
Tiada pengarah atau pemegang saham utama syarikat atau pihak berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam projek itu.- DagangNews.com








